Sambutan hari raya Aidilfitri yang diraikan selepas sebulan umat Islam menunaikan ibadah puasa yang diwajibkan kepada mereka hendaklah disambut mengikut lunas syarak dan tidak dicampur aduk dengan perkara yang diharamkan oleh Islam.
Selepas istiqamah selama sebulan meningkatkan ibadah demi mencapai status takwa, pastinya kita mahu momentum itu diteruskan dengan memastikan hari raya menandakan kemenangan umat Islam tetapi mempunyai nilai ibadah.
Tidak dinafikan, terdapat dalam kalangan umat Islam hari ini yang mungkin terlalu ghairah ingin menyambut Aidilfitri terlupa menjaga batas bergembira yang ditetapkan. Oleh itu, memahami erti sebenar Syawal penting supaya dapat dirayakan dengan lebih bermakna.
Pensyarah Kanan I’jaz al-Quran Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Sukki Othman, berkata sambutan berbentuk fizikal perlu seiring dengan konsep sambutan secara rohani bagi mendapat kegembiraan sebenar menyambut hari raya.
Beliau menyarankan umat Islam untuk menilai kembali aktiviti yang ingin dilakukan ketika hari raya supaya tidak termasuk perkara boleh mencemarkan kemuliaan serta kesucian Aidilfitri yang simboliknya mengembalikan umat Islam kepada fitrah.
“Sepanjang Ramadan kita berpuasa, menunaikan solat sunat tarawih, bertadarus al-Quran serta melakukan amalan sunat lain seperti bersedekah dan membayar zakat untuk mencari keredaan Allah SWT. Maka, 1 Syawal, kita kembali kepada fitrah seperti bayi yang baru dilahirkan,” katanya.
Kembalikan budaya Islam
Katanya, Syawal juga adalah hari kemenangan bagi umat Islam kerana berjaya menundukkan nafsu sepanjang Ramadan dan membersihkan daripada dosa yang lalu sekali gus menjadi insan bertakwa.
Menurut Mohd Sukki, untuk menghidupkan semula tradisi Syawal sebagaimana disyariatkan oleh Islam, digalakkan amalan ziarah menziarahi antara sesama keluarga, saudara mara, kaum kerabat, jiran dan sahabat handai.
Tambahnya, kanak-kanak juga perlu dididik mengenai amalan ziarah yang tepat iaitu bukan sekadar berkunjung untuk mendapatkan duit raya semata-mata tetapi mengikut syariat Islam yang menekankan pemberian sedekah kepada orang memerlukan seperti fakir miskin.
Selain itu, beliau turut menegaskan sambutan Syawal bukan hanya semata-mata untuk kegembiraan, bahkan lebih utama mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.
“Dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, perlu diingat jangan sesekali lupa kepada kewajipan terhadap Allah SWT seperti mendirikan solat fardu lima waktu. Moga kegembiraan dan keseronokan pada hari raya akan juga dapat dikecapi pada hari akhirat kelak,” katanya.
Raya di Makkah sederhana
Sementara itu, warga Malaysia yang berpengalaman beraya di Makkah tahun lalu, Rokhaizat Rahmat, 30, berkata banyak perbezaan menyambut Syawal antara masyarakat Arab dan Melayu kerana tumpuan di Tanah Suci lebih menekankan kepada menyempurnakan ibadah.
“Di Makkah, suasana Aidilfitri berbeza dengan di Malaysia kerana kemeriahan lebih terasa pada Ramadan. Pada malam raya, kami sekeluarga memilih untuk tidur di Masjidil Haram kerana jemaah terlalu padat bagi memastikan dapat tempat untuk solat sunat Aidilfitri.
“Pagi raya pula, masyarakat di sana akan membawa anak mereka yang dipakaikan gaun cantik dan disolek, tetapi kemudian ia ditutup dengan abaya berwarna hitam,” katanya.
Beliau berkata, sambutan raya di sana sangat ringkas. Selepas solat sunat hari raya, mereka akan menziarahi keluarga terdekat.
Golongan tua akan memanggil kanak-kanak untuk memberi duit raya yang dimasukkan ke dalam sampul seperti budaya kita.
“Mereka akan saling menziarahi tetapi bagi setiap rumah, mereka hanya duduk antara lima hingga 10 minit sahaja.
“Antara juadah raya pula seperti kuih tradisi, coklat dan qahwah Arabi iaitu kopi Arab yang agak pahit,” katanya.
- Amalan sunat hari raya
- Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri.
- Menjamah makanan sebelum keluar.
- Memperbanyakkan takbir sama ada di rumah atau masjid.
- Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain.
- Memakai pakaian terbaik yang ada.
- Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi).
- Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim.
- Bergembira dengan melakukan perkara yang dibenarkan.
- Melakukan amalan sedekah.
- Melakukan puasa enam.