ADAB BERPAKAIAN MENUTUP AURAT
ADAB BERPAKAIAN MENURUT ISLAM
Umat Islam diperintahkan untuk menjaga kehormatan mereka dengan memastikan pakaian yang dipakai tidak mendedahkan aurat. Namun, ada sesetengah orang mengambil mudah perkara tersebut dan tidak mengamalkan adab berpakaian seperti yang telah dinyatakan dalam Islam. Adab berpakaian dalam Islam sebenarnya sudah tertulis di dalam Al-Quran surah al-A’raf ayat 26 yang menjelaskan tentang seruan bagi anak-anak Adam untuk berpakaian yang indah dan menutup aurat. Bagi umat Islam, berpakaian bukan hanya sekadar menutup tubuh ia juga berfungsi untuk menjaga maruah diri dan jauh daripada anasir-anasir jahat. Berikut adalah beberapa adab berpakaian dalam Islam yang boleh diamalkan:
1. Tidak menyerupai jantina berlainan
Lelaki dan wanita dapat dibezakan melalui pemakaian mereka. Oleh itu, lelaki tidak seharusnya menyerupai wanita dengan memakai pakaian wanita dan sebaliknya. Ini bukan sahaja mendatangkan dosa malah dapat menimbulkan kekeliruan terhadap orang ramai. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa:
لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ ص الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ اْلمَرْأَةِ، وَ اْلمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ
Maksudnya: “Rasulullah S.A.W melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan juga wanita yang memakai pakaian lelaki.”
(Riwayat Abu Daud)
Pastikan pakaian yang dikenakan tidak mengandungi unsur jantina lain agar dapat menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang dibenci Allah SWT dan Rasulullah SAW.
2. Mulakan dari sebelah kanan
Sebagai umat Islam, banyak perkara yang dimulakan dari sebelah kanan. Ini kerana memulakan sesuatu perkara dari kanan adalah sunnah Rasulullah SAW. Imam Muslim meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ فِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya: “Rasulullah suka sebelah kanan dalam segala keadaan, seperti memakai sandal,sepatu, berjalan kaki dan bersuci.”
(Riwayat Bukhari)
3. Mulakan dengan doa
Dalam Islam, setiap perkara hendaklah dimulakan dengan doa bagi mendapatkan keberkatan Allah SWT. Memakai pakaian juga ada doa yang tersendiri. Doa yang boleh dibaca ketika memakai pakaian adalah:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى كَسَانِى هَذَا الثَّوْبَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّى وَلاَ قُوَّةٍ
Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah memberikan pakaian ini kepadaku sebagai rezeki dari-Nya tanpa daya dan kekuatan dariku.
(Riwayat Abu Daud)
Doa khusus daripada Rasulullah SAW yang diriwayatkan Ibnus Sunni:
اللّٰهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهِ وَ خَيْرِ مَا هُوَ لَهُ، وَ أَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّهِ وَ شَرِّ مَا هُوَ لَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu bagian dari kebaikan pakaian ini dan kebaikan apapun yang dimilikinya. Dan aku berlindung kepada-Mu dari bagian keburukannya serta keburukan yang dikandungnya.”
4. Menutup aurat
Menutup aurat merupakan satu kewajiban dalam Islam. Lelaki mahupun wanita mempunyai batas aurat mereka yang tersendiri. Aurat lelaki berada di antara pusat hingga lutut dan batas aurat perempuan adalah seluruh badan kecuali kedua tapak tangan serta wajah. Namun, ada juga yang menutup aurat tapi masih menampakkan warna kulit serta bentuk tubuh mereka. Oleh itu, elakkan daripada memakai pakaian yang jarang dan ketat. Rasulullah SAW bersabda:
“Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liukkan badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh.”
(Riwayat Muslim)
5. Tidak menyerupai pakaian orang kafir
Seseorang akan dianggap berdosa jika mereka berpakaian seperti orang kafir dengan tujuan untuk menyampaikan ajaran berkaitan agama mereka. Dari Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
من تشبه بقوم فهو منهم
Maksudnya: “Orang yang menyerupai suatu kaum, seolah ia bagian dari kaum tersebut”
(Riwayat Abu Daud)
Namun jika pakaian tersebut selalu dipakai dan telah menjadi budaya serta tiada niat dalam menyebarkan ajaran agama lain, ianya tidak menjadi satu dosa dan hukumnya makruh.
Sebagai umat Islam, aurat ibarat maruah. Jika tidak dijaga dengan baik, ia akan mendorong kepada sesuatu yang lebih buruk. Namun, apabila aurat dipandang tinggi, kita akan terpelihara daripada segala perbuatan jahat dan sentiasa di bawah jagaan Allah SWT. Berubah itu mudah namun istiqomah itu susah tapi tiada yang mustahil jika kita menanamkan azam yang tinggi dalam diri.
Sumber:
https://muslim.or.id/47057-adab-adab-berpakaian-bagi-muslim-dan-muslimah.html
https://zayan.syok.my/zayan-pit-stop/trending/adab-adab-dalam-berpakaian
https://sumbarprov.go.id/home/news/16736-adab-berpakaian-menurut-islam