Membaca surah Yaasin telah menjadi kebiasaan di dalam masyarakat kita. Banyak majlis-majlis keagamaan yang meletakkan bacaan surah Yaasin sebagai salah satu aktiviti di dalam tentatif mereka. Sesetengah orang juga telah menghafal surah Yaasin dek kerana kekerapan masyarakat kita membacanya. Namun, tak ramai yang tahu fadhilat yang bakal mereka peroleh daripada membaca surah Yaasin. Antara kelebihan surah Yaasin adalah:
1. Mendapat keampunan Allah
Solat sunat Taubat sering dilakukan jika seseorang mahu memohon keampunan daripada Allah SWT. Namun, selain solat sunat Taubat, surah Yaasin juga boleh dibaca dengan penuh pengharapan dan ingin mengejar keredhaan Allah dalam memohon keampunan daripada-Nya. Sepertimana sabda Nabi Muhammad S.A.W.:
“Sesiapa yang membaca Surah Yasin pada malam hari kerana mengharapkan keredhaan Allah, Allah akan mengampuninya.”
(Ibnu Hibban, Darimi 3283/A, Abu Yala, Tabarani, Baihaqi & Mardawaih)
2. Mengurangkan kesakitan ketika sakaratulmaut
Sakaratulmaut merupakan satu fasa yang amat menyakitkan di mana roh manusia ditarik keluar daripada badan mereka. Surah Yaasin sering dibaca ketika berada di samping seseorang yang sedang nazak. Hal ini kerana surah Yaasin mampu meringankan azab dan membantu memudahkan roh dicabut oleh malaikat Izrail. Daripada Ma’qal bin Yaasar R.A. bahawasanya Baginda S.A.W. telah bersabda yang bermaksud:
“Hati al-Quran adalah surah Yasin, tidaklah dibaca akan dia oleh seorang lelaki yang mengharapkan Allah dan kampung akhirat melainkan diampun oleh Allah dosanya dan bacalah surah Yasin kepada mereka yang hampir mati dan selepas mati.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan An-Nasai)
3. Ditunaikan segala hajat
Setiap orang mempunyai hasrat mereka yang tersendiri. Amalan membaca surah Yaasin dapat menjadi salah satu asbab untuk mencapai hasrat mereka. Sebagai contoh, kebanyakan sekolah akan mengadakan majlis solat hajat dan bacaan Yaasin untuk pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti UPSR, PT3 dan SPM yang bertujuan untuk mendapatkan keberkatan serta menjadi penerang hati kepada pelajar-pelajar. Namun, membaca surah Yaasin sahaja tidak mencukupi. Pelajar perlulah berusaha sehabis baik dan menjaga hubungan baik dengan Allah dan orang di sekeliling mereka. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
“Surah Yasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan ‘Al-Muimmah’ (yang menyelubungi) pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat dan yang menanggung segala bala dan kesusahan dunia dan akhirat dan dinamakan juga sebagai perisai dan penunai hajat, yang melindungi pembacanya dari setiap keburukan dan kejahatan dan yang menunaikan bagi pembacanya segala hajat dan kemahuan.”
(Riwayat Said bin Mansur dan al-Baihaqi dari Hasan bin Aziah)
4. Mendapat pahala
Jika seseorang menjadikan surah Yaasin sebagai amalan harian, mereka akan dikurniakan pahala berlipat ganda sama seperti membaca Al-Quran sebanyak 10 kali hanya dengan membaca surah Yaasin. Menurut Anas bin Malik RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
إنَّ لِكُلِّ شيءٍ قَلْبًا ، وَإنَّ قَلْبَ الْقُرْآنِ ( يس ) ، مَنْ قَرَأَهَا فَكَأنَّما قَرَأَ القُرْآنَ عَشرَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan sesungguhnya hati al-Quran adalah surah Yasin. Barangsiapa yang membacanya maka pahalanya seumpama membaca sepuluh kali al-Quran”.
(Riwayat al-Tirmizi)
5. Dilindungi dari segala kejahatan
Apabila membaca surah Yaasin dapat dijadikan amalan, kita juga dapat melindungi diri daripada segala perkara buruk yang akan terjadi. Kita boleh menjadikannya sebagai ikhtiar dan perisai dalam melindungi diri dari segala hasad dengki yang berpunca daripada perasaan cemburu seseorang yang kemudiannya menjurus kepada permainan ilmu hitam serta penyakit yang datang daripada iblis dan syaitan.
Oleh itu, marilah bersama-sama mengekalkan amalan membaca surah Yaasin ini terutama sekali pada Khamis malam Jumaat agar hidup kita sentiasa diberkati, memperoleh ketenangan yang berlanjutan dan sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT.
Sumber:
https://ecentral.my/doa-yasin/
https://harakahdaily.net/index.php/2022/09/23/5-kelebihan-membaca-surah-yasin/