Memiliki adab yang baik adalah salah satu ciri yang melambangkan diri sebagai seorang Muslim yang sentiasa mengikuti segala ajaran Rasulullah SAW. Adab bertujuan untuk membentuk keperibadian yang tinggi dan elok. Bercakap juga memerlukan adab yang tersendiri. Lidah lebih tajam daripada mata pedang. Lisan hendaklah sentiasa dijaga kerana ianya boleh menjadi punca persengketaan sesama manusia serta jalan ke neraka. Rasulullah SAW pernah ditanya sebab yang paling banyak mengakibatkan orang masuk syurga, Rasulullah SAW menjawab:
“Taqwa kepada Allah SWT dan berakhlak mulia”
Rasulullah saw juga ditanya sebab yang paling banyak mengakibatkan orang masuk neraka, Rasulullah SAW menjawab:
“Mulut dan kemaluan”
(Riwayat Tirmidzi)
Oleh itu, kita perlulah sentiasa beradab di dalam percakapan untuk menjaga hati orang di sekeliling. Antara adab-adab yang boleh diamalkan ialah:
1. Berkata yang baik ataupun diam
Setiap orang hendaklah berfikir dahulu sebelum mereka berbicara. Nabi Muhammad SAW telah mengajar umatnya berbicara perkara-perkara yang baik ataupun diam jika tiada perkara yang memberi manfaat kepada pendengar. Dari Abu Hurairah RA, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka janganlah dia menyakiti tetangganya. Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka muliakanlah tamunya. Dan siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka berkatalah yang baik atau diamlah.”
(Riwayat Al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad)
2. Menjauhi diri daripada pembohongan
Dusta atau berbohong adalah menyatakan perkara yang tidak benar. Lebih-lebih lagi apabila orang itu menyebarkan kebohongan kepada orang di sekitarnya. Oleh kerana pembohongan adalah suatu kenyataan yang jauh dari perkara yang betul, Allah SWT dan Rasulullah SAW melarang untuk seseorang itu berkata dusta. Ianya akan menjadi pemudah cara untuk seseorang memperoleh dosa dan neraka. Firman Allah SWT:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
Maksudnya: ”Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”
(Surah al-Isra’:36)
Rasulullah SAW juga bersabda:
“Sesungguhnya kejujuran menunjukkan kepada kebaikan dan kebaikan itu menunjukkan kepada syurga, dan sesungguhnya seorang lelaki yang berkata jujur hingga di sisi Allah menjadi orang yang siddiq. Dan sesungguhnya dusta itu membawa seseorang kepada dosa, dan dosa itu membawa kepada neraka. Dan seorang lelaki yang berdusta hingga tercatat di sisi Allah sebagai pendusta.”
(Riwayat Al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad)
3. Elakkan berdebat walaupun benar
Orang yang suka berdebat lebih cenderung untuk mengkritik seseorang dari sudut kelemahan mereka. Adakala perbuatan tersebut menyentuh sensitiviti dan kemudiannya mengundang pertikaian dan perbalahan antara dua pihak. Oleh sebab itu, sewajarnya seorang Muslim elakkan diri daripada berdebat walaupun berdasarkan fakta agar mereka tidak terjerumus dalam dosa. Dari Abu Umamah RA, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Aku jamin rumah di dasar syurga bagi orang yang menghindari berdebat sekalipun ia benar, dan aku jamin rumah di tengah syurga bagi orang yang menghindari dusta walaupun dalam bercanda, dan aku jamin rumah di puncak syurga bagi yang baik akhlaknya.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
4. Percakapan selari dengan pemahaman
Ketika berinteraksi dengan pihak lain, gunakanlah gaya dan cara yang mudah difahami oleh pihak tersebut agar tidak timbul salah faham. Jadikan realiti, budaya dan persekitaran sebagai dasar dalam mencipta cara untuk berinteraksi agar mereka dapat dan faham apa yang cuba disampaikan. Janganlah mementingkan diri sendiri dengan hanya berinteraksi menggunakan cara kita yang tersendiri. Diriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أُمِرْنا أن نُكَلِّمَ النّاسَ على قَدرِ عقولِهِم
Maksudnya: ”Kami diperintahkan untuk berbicara kepada manusia mengikut tahap pemahaman mereka.”
(Riwayat al-Daraqutni dalam al-Afrad)
5. Elakkan diri dari gurauan yang melampau
Gurauan sebagai salah satu cara untuk menenangkan suasana dan menjadikan sesebuah perbualan itu lebih mesra. Namun, gurauan juga mempunyai batasnya. Memanggil seseorang berdasarkan fizikal mereka, panggilan yang mereka tidak sukai dan mengatakan perkara yang mereka tidak lakukan itu mampu mengguris hati mereka dan bukanlah sebuah gurauan. Allah SWT telah memerintahkan hambaNya untuk sentiasa mengucapkan perkara-perkara yang baik kepada seseorang sama ada orang terdekat atau orang asing.
Kerana mulut badan binasa. Berfikir dahulu sebelum berkata apa-apa yang boleh merosakkan hubungan seseorang dan mengguris hati sesiapa yang mendengar. Terapkanlah adab-adab ini agar dijauhi daripada segala kejahatan seperti mengatakan perkara yang tidak bermanfaat seperti yang diarahkan kepada seluruh umat Islam.
Sumber:
https://maktabahalbakri.com/4720-adab-ketika-berinteraksi-dan-berbual/
https://www.alraudhah.com/ketahuilah-adab-bercakap-menurut-islam/