Al-Quran telah menjadi panduan kepada umat Islam sejak ianya diturunkan di dunia kepada Rasulullah SAW. Apabila tibanya bulan Ramadhan, Al-Quran akan dijadikan sebagai pendamping dalam memperbanyakkan pahala pada bulan mulia tersebut. Namun begitu, dalam ingin menambahkan pahala, usaha dalam memahami isi kandungan Al-Quran dan mengamalkannya sebagai amalan seharian tidak boleh diketepikan. Pada sisi lain, bagi menjadikan bacaan al-Quran itu berbekas kepada pembacanya, kita seharusnya melihat dari aspek adab-adab sebelum memulakan bacaan ataupun ketika sedang membacanya. Terdapat beberapa adab yang boleh dijadikan amalan setiap kali ingin membaca Al-Quran:

 

1. Memilih waktu yang sesuai

Tiada halangan untuk membaca Al-Quran pada bila-bila masa namun pilihlah waktu yang sesuai. Sepertiga malam adalah waktu yang paling sesuai di mana waktu itu kita akan terasa lebih dekat dengan Allah. Tambahan pula, sepertiga malam merupakan waktu paling sesuai untuk memohon keampunan daripada Allah SWT dengan memperbanyakkan istighfar pada waktu itu seperti mana yang disebut dalam surah ‘Ali Imran:

 

“Kemudian disusuli dengan waktu-waktu malam, pagi dan waktu-waktu lain pada siang harinya.”

(Surah ‘Ali Imran: 17)

 

2. Memilih tempat yang sesuai

Tempat yang bersesuaian juga penting dalam menjaga adab kita dengan Al-Quran. Sebagai contoh, masjid antara tempat yang sesuai disebabkan oleh persekitarannya yang jauh daripada bising dan hiruk pikuk, kanak-kanak yang sedang bermain serta gurau senda orang sekeliling. Selain itu, tempat yang berunsurkan semula jadi seperti taman juga amat sesuai di mana dikelilingi ketenangan dan keindahan alam. Tidak salah untuk membaca di tempat yang sedikit bising namun ia mampu mengganggu konsentrasi serta tidak fokus terhadap bacaan.

 

3. Memilih kedudukan dan posisi yang sesuai

Kedudukan yang paling sesuai adalah kedudukan tasyahud sambil menghadap kiblat. Tasyahud adalah kedudukan seperti ketika tahiyat akhir. Kedudukan ini amat sesuai kerana ianya menampakkan kehambaan kita kepada Allah SWT dan menzahirkan sifat ‘ubudiyyah’ iaitu sifat manusia sebagai hamba kepada Allah. Kekalkan kedudukan menghadap ke arah kiblat jika ingin mengubah posisi lain. Ini sebagai tanda penghormatan terhadap kitab suci umat Islam.

 

4. Menjaga dan memelihara kebersihan luaran

Sentiasalah jaga kebersihan diri daripada keadaan haid, janabah dan nifas. Sangat digalakkan untuk sentiasa berada dalam keadaan yang berwudhu bagi memudahkan diri kita membaca Al-Quran pada bila-bila masa dan di mana jua. Para ulama telah menfatwakan harus bagi seseorang perempuan yang ingin membaca al-Quran untuk tujuan belajar dan mengajar semasa dalam keuzuran.

 

5. Menyelesaikan semua urusan sebelum fokus kepada bacaan

Sesetengah orang mudah terganggu jika ada perkara tidak dapat diselesaikan pada waktu tersebut menyebabkan mereka terlalu fikirkannya sehingga mengganggu bacaan mereka. Mereka tidak akan menghayati dan tidak merasai makna disebalik ayat-ayat Al-Quran tersebut. Ini kerana Al-Quran telah dibaca tanpa kehadiran hati. Sebagai persamaan, ianya ibarat apabila seseorang itu membaca Al-Quran sambil memandang orang di sekelilingnya dan duduk di hadapan televisyen di mana mata memandang Al-Quran tetapi telinga mendengar televisyen.

 

Penulisan kali ini dapat menyedarkan kita akan kesilapan kita selama ini terhadap kitab suci umat Islam sendiri iaitu Al-Quran. Banyak perkara perlu diamalkan bagi menunjukkan penghormatan kita terhadapnya. Marilah bersama-sama berusaha menjadi insan yang lebih baik dan sentiasa diredhai Allah SWT walau di mana kita melangkah.

 

Sumber:

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/spotlight/menjaga-adab-dengan-al-quran-warga-sekolah-boleh-jadikan-tip-ini-sebagai-rujukan

https://ppn.kelantan.gov.my/index.php/en/laman-info/umi

Share the Post: