Menurut istilah, jual beli adalah satu aktiviti di mana proses menjual dan membeli atau pertukaran barangan mengikut nilai harga barangan oleh peniaga dengan pembeli mengikut syarat-syarat yang tertentu dan disertakan dengan akad. Dalam konteks Islam, jual beli bukan sekadar satu transaksi perdagangan, tetapi ia juga melibatkan nilai-nilai moral dan etika yang tinggi. Islam mengajarkan bahawa setiap urusan jual beli haruslah dilaksanakan dengan niat yang baik, kejujuran, dan keadilan agar setiap urusan yang dilakukan mendapat keredhaan Allah SWT.

  • Tidak Mempunyai Unsur Riba

Dalam Islam, terdapat beberapa adab yang perlu diikuti dan salah satunya adalah larangan terhadap unsur riba. Riba dianggap sebagai satu bentuk penindasan dan ketidakadilan dalam transaksi jual beli. Ini boleh mengakibatkan jurang sosial yang lebih besar, di mana golongan kaya semakin kaya, manakala golongan miskin adalah sebaliknya. Prinsip keadilan dalam Islam menekankan perlunya kesejahteraan sosial dan urusan jual beli yang adil. Penting bagi umat Islam untuk menghindari sebarang bentuk transaksi yang melibatkan riba dan memilih jalan yang lebih beretika. 

  • Barangan yang Dijualkan dapat Disahterima

Dalam urusan jual beli, kebolehterimaan barang dalam urus niaga adalah penting, kerana ia menyokong prinsip keadilan dan amanah antara dua pihak iaitu penjual dan pembeli di mana kedua-duanya mengetahui dengan tepat apa yang mereka perolehi dari segi kualiti, harga, dan keadaan barangan tersebut. Ini secara tidak langsung akan mengurangkan risiko pertikaian di kemudian hari, sekiranya pembeli berkemungkinan merasa tertipu jika barangan yang diterima tidak bertepatan dengan apa yang dijanjikan. Penyahterimaan barangan dalam adab jual beli bukan sahaja melindungi hak pembeli tetapi juga meningkatkan reputasi penjual, sekaligus menjamin kelangsungan perniagaan yang baik.

  • Bersikap Lemah Lembut dalam Urusan Jual Beli

Bersikap lemah lembut dan mempermudahkan urusan jual beli adalah prinsip yang sangat penting dalam dunia perniagaan. Apabila penjual menunjukkan sikap mesra dan sabar, pembeli akan merasa lebih selesa dan dihargai. Ini adalah kunci untuk mencipta suasana yang positif dan menggalakkan pembeli untuk kembali ke perniagaan tersebut. Hubungan yang baik ini juga dapat meningkatkan peluang untuk melakukan transaksi berulang, yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan perniagaan. Apabila pembeli merasa bahawa urusan mereka dipermudahkan, mereka lebih cenderung untuk berpuas hati.

  • Tidak Menjual Barangan Yang Bukan Hak Miliknya

Dalam konteks Islam, menjual barangan yang bukan hak miliknya adalah dilarang kerana ia melanggar prinsip keadilan dan kejujuran yang sangat ditekankan dalam jual beli. Ini kerana menjual barang yang bukan milik sendiri boleh dianggap sebagai penipuan, di mana penjual tidak mempunyai hak untuk menjual barang tersebut. Tindakan ini juga boleh menyebabkan kerugian kepada pemilik sebenar barangan dan mencetuskan ketidakadilan dalam masyarakat. Islam mengajar kita untuk berurusan dengan niat yang baik, dan menjual barangan yang bukan hak milik sendiri adalah berlawanan dengan ajaran yang ditetapkan dalam agama Islam. 

Secara tuntasnya, adab berjual beli harus dilakukan dengan niat yang baik dan penuh kejujuran. Ini termasuk memastikan bahawa semua pihak yang terlibat memahami hak dan tanggungjawab mereka. Hal ini kerana, adab berjual beli menekankan pentingnya keadilan dalam urusan perniagaan. Dengan mematuhi prinsip-prinsip ini, kita bukan sahaja dapat membina kepercayaan dalam masyarakat, tetapi juga mendapatkan keberkatan dalam setiap urusan yang dilakukan. 

 

Sumber Rujukan

https://jurnal.iaihnwpancor.ac.id/index.php/alrasyad/article/view/534/404

https://sinarplus.sinarharian.com.my/Agama/Panduan/adab-tatacara-berniaga-dalam-islam-yang-perlu-kita-patuhi-demi-mendapat-keredaan-nya

https://akumuslim.asia/10-adab-berjual-beli-menurut-syariat-islam/

https://tazkirahharian.com/adab-menjual-beli-dalam-islam/

 

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?