Bak kata pepatah Melayu, ‘Jiran Sepakat Membawa Berkat’ sangat bertepatan dengan komponen penting dalam komunikasi sosial yang sering ditonjolkan dalam ajaran Islam. Konsep ini merangkumi tingkah laku, sikap dan tindakan seseorang individu yang digalakkan untuk mengamalkan dalam perhubungan mereka dengan individu-individu yang tinggal berdekatan. Apabila individu mengutamakan tingkah laku kejiranan yang baik, mereka bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup mereka sendiri tetapi juga menggalakkan rasa perpaduan dan kerjasama di kalangan penduduk. Seruan untuk memupuk hubungan harmoni dengan jiran tetangga terkandung di dalam firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“…dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.” 

(Surah An-Nisaa’: 36)

  • Saling Hormat-Menghormati

Saling hormat-menghormati terserlah sebagai salah satu sifat terpuji atau mahmudah yang ditekankan dalam ajaran Islam. Secara khususnya, memupuk sikap saling hormat-menghormati di kalangan jiran boleh menyumbang secara ketara kepada mewujudkan suasana yang harmoni dan menyenangkan dalam komuniti di samping memupuk hubungan sosial yang kukuh. Hal ini kerana, keterbukaan ini bukan sahaja membantu meredakan ketegangan tetapi juga meminimumkan kemungkinan konflik dan perselisihan faham yang timbul secara tidak sengaja. Amalan ini mampu menjelmakan intipati akhlak mulia.

  • Larangan Menyakiti Jiran Tetangga dan Anjuran Memuliakan Mereka

Memupuk minda penuh kesedaran dan muhasabah sebelum mengambil sebarang tindakan adalah mustahak, terutamanya dalam menilai sama ada perkataan dan perbuatan yang diucapkan berisiko mendatangkan mudarat kepada orang sekeliling. Sebaliknya, memuliakan jiran adalah satu anjuran yang sangat baik kerana ini termasuk dalam membantu mereka dalam kesusahan dan menunjukkan sikap saling menghargai. Dengan memuliakan jiran, kita bukan sahaja membina hubungan yang baik tetapi juga mencipta suasana yang positif di dalam komuniti. Misalnya, kita boleh mengunjungi jiran, mengucapkan salam, atau membantu mereka dalam kerja-kerja harian. 

  • Saling Bertoleransi

Hidup bertoleransi dengan jiran adalah satu aspek penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Toleransi bukan sahaja tentang menerima perbezaan, tetapi juga menghormati dan memahami latar belakang serta kepercayaan orang lain. Dalam dunia yang semakin pelbagai ini, sikap toleransi menjadi semakin relevan dan diperlukan lebih-lebih lagi dalam hidup berjiran. Salah satu sebab mengapa setiap individu perlu hidup bertoleransi adalah untuk mengurangkan konflik. Hubungan kejiranan bagaikan isi dengan kuku, umpama dakwat dan kertas mencetuskan toleransi dan keharmonian hidup. Apabila kita melayan jiran dengan baik, ia menjadikan seluruh masyarakat dan negara kita tempat yang lebih baik untuk didiami.

  • Mengelakkan Penyebaran Berita Palsu dalam Kalangan Jiran

Mencegah penyebaran berita palsu dalam komuniti kejiranan patut diberi perhatian sepenuhnya. Maklumat yang salah boleh membawa kepada salah faham yang ketara yang mampu mewujudkan ketegangan yang tidak perlu, dan juga meningkatkan konflik di kalangan individu mahupun kumpulan. Oleh hal yang demikian, setiap individu perlu berkomunikasi secara terbuka dengan jiran-jiran. Jika terdengar berita yang meragukan, adalah lebih baik untuk berbincang secara langsung dengan mereka yang terlibat tanpa menyimpulkan sendiri atau mengada-adakan cerita kepada pihak ketiga. 

Ringkasnya, menerapkan tingkah laku dan sikap yang baik terhadap jiran tetangga adalah penting untuk memupuk masyarakat yang harmoni. Adab sedemikian menyerlahkan nilai-nilai positif apabila diamalkan dan bakal menyumbang kepada persekitaran yang aman, yang akhirnya meningkatkan hubungan sosial dan perpaduan di kalangan masyarakat.

 

Sumber Rujukan

https://ejournal.unipsas.edu.my/index.php/jhepi/article/view/177/144

https://academicinspired.com/jised/article/view/1656/1656

https://app.pandai.org/note/read/kssm-pi-08-06-04/kssm-f2-pi-06-04-06/santuni-jiranmu

https://www.facebook.com/ustazwadiannuarofficial/posts/pentingnya-sikap-peduli-terhadap-jiran-tetanggaislam-mengajar-umatnya-memuliakan/1032570772213082/

 

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?