Makan dan minum merupakan rutin harian dan antara aktiviti wajib untuk manusia dalam membekalkan tenaga kepada badan kita. Di dalam Islam, kesemua perkara yang dilakukan memerlukan adab tidak terkecuali makan dan minum. Adab tidak dicipta tanpa sebab. Ianya merupakan satu bentuk ibadah dan bertujuan memperoleh berkat dalam setiap apa yang dilakukan. Adab juga merupakan sunnah Rasulullah SAW. Jadi, dengan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW, kita dapat mencerminkan jati diri seorang Muslim sejati. Terdapat beberapa adab makan dan minum yang disarankan oleh Rasulullah SAW antaranya:
1. Dimulakan dengan bismillah
Membaca bismillah dan berdoa sebelum makan merupakan adab pertama yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada umatnya. Apabila sesuatu perkara dimulakan dengan nama Allah, ianya akan mendapat keberkatan. Begitu juga dengan makan dan minum di mana ianya akan membentuk darah daging yang baik hasil daripada keberkatan yang diperoleh. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ
Maksudnya: “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama Allah) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).”
(Riwayat al-Tirmizi)
2. Elakkan makan dan minum berdiri
Makan dan minum sambil berdiri menunjukkan adab yang buruk terhadap makanan. Ianya seperti kita tidak menghormati rezeki Allah SWT yang telah kita peroleh. Diriwayatkan bahawa Anas bin Malik RA menyatakan:
عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ نَهَى أَنْ يَشْرَبَ الرَّجُلُ قَائِمًا . قَالَ قَتَادَةُ فَقُلْنَا فَالأَكْلُ فَقَالَ ذَاكَ أَشَرُّ أَوْ أَخْبَثُ
Maksudnya: ”Sesungguhnya Nabi SAW melarang daripada meminum sambil berdiri. Qatadah bertanya bagaimana pula dengan makan (sambil berdiri)? Anas menjawab: “Yang demikian itu adalah lebih buruk dan tercela.”
(Riwayat Muslim)
Namun, bergantung kepada situasi. Jika keadaan memudaratkan, maka dibolehkan untuk minum sambil berdiri dan hukumnya adalah makruh. Selain dari segi agama, makan sambil berdiri juga dapat memudaratkan tubuh badan kita. Ini kerana apabila kita mengamalkan makan sambil berdiri, organ dalaman tidak dapat berfungsi dengan baik dan makanan tidak tercerna sepenuhnya.
3. Makan dan minum sekadarnya
Islam mengajar kita untuk sentiasa bersederhana dalam melakukan apa sahaja termasuk makan dan minum. Makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. Organ di dalam badan belum tentu dapat mencerna semua makanan jika kita memaksa diri untuk makan sekiranya sudah kenyang. Oleh itu, bersederhanalah ketika makan agar tidak berlaku pembaziran dan kesihatan diri sentiasa terjaga.
4. Tidak mencela makanan
Makanan merupakan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Mencela makanan ibarat mencela rezeki yang Allah SWT beri. Jadilah manusia yang sentiasa bersyukur dan menghormati makanan dan minuman. Hargailah orang yang menyediakan serta menghidangkan makanan tersebut kepada kita. Sentiasalah mengingatkan diri untuk sentiasa bersyukur dengan mengingati orang-orang yang bersusah-payah mencari sesuap nasi untuk diri sendiri dan keluarga serta yang terpaksa menyelongkar tong sampah hanya untuk mengisi perut yang kelaparan selama berhari-hari.
5. Ambil makanan yang berdekatan dahulu
Kawal diri daripada bersikap gelojoh di hadapan rezeki sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW. Ambil makan yang terdekat dahulu supaya menampakkan kesopanan diri di hadapan makanan. Ia juga untuk mengelakkan daripada mengambil hak orang lain dengan mengambil makanan di hadapan mereka. Ianya akan memberi tanggapan buruk kepada kita sebagai seorang yang tidak sopan dan gopoh. Rasulullah SAW bersabda:
الْبَرَكَةُ تَنْزِلُ وَسَطَ الطَّعَامِ فَكُلُوا مِنْ حَافَتَيْهِ وَلَا تَأْكُلُوا مِنْ وَسَطِهِ
Maksudnya: “Keberkatan itu turun di tengah-tengah makanan, maka mulailah makan dari tepinya dan janganlah makan dari tengahnya.”
(Riwayat Tirmidzi)
6. Menjilat jari selepas makan
Menjilat jari selepas makan merupakan sunnah Rasulullah SAW. Ianya bertujuan untuk mencari keberkatan kerana mungkin rezeki yang bersisa di jari tersebut merupakan keberkatan yang kita terlepas pandang. Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَلْعَقْ أَصَابِعَهُ، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي فِي أَيَّتِهِنَّ الْبَرَكَةُ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu makan maka jilatlah jari-jarinya kerana sesungguhnya dia tidak tahu di manakah tempat yang mempunyai keberkatan.”
(Riwayat Muslim)
Islam itu indah dan mudah. Pelbagai cara yang dapat dilakukan bagi memperoleh keberkatan daripada Allah SWT. Menjaga adab makan dan minum sahaja sudah mampu menjaga hubungan kita dengan Allah SWT serta orang di sekeliling. Marilah bersama-sama mencapai keredhaan Allah SWT dengan melakukan amalan-amalan semudah menjaga adab makan dan minum ini.
Sumber: