Media sosial merupakan sebuah platform yang semakin digunakan oleh banyak orang tak kira tua atau muda. Fungsi utama media sosial adalah sebagai penghubung kepada keluarga atau pun kenalan yang jauh. Ia juga digunakan sebagai hiburan dan sekarang dijadikan sebagai tempat untuk mencari dan menambah ilmu pengetahuan. Namun, sesetengah pengguna menyalahgunakan platform ini yang sepatutnya membawa lebih banyak kebaikan tetapi menjurus ke arah keburukan. Ini kerana kurangnya pengetahuan berkaitan adab berkomunikasi dalam media sosial. Bagi mengelakkan perkara-perkara yang berbaur negatif ini terus berkembang, marilah bersama-sama mengamalkan adab-adab berkomunikasi di media sosial di mana antaranya ialah:

 

1. Hormati pendapat yang berbeza dari pandangan sendiri

Setiap orang mempunyai pendapat yang berlainan dan kita tidak boleh memaksa untuk seseorang menerima pendapat kita. Apabila seseorang itu meluahkan pandangan mereka terhadap sesuatu perkara atau isu di media sosial, cuba untuk menerima dan tidak meninggalkan komen yang dapat mengguris perasaan mereka. Walaupun susah untuk menerima pendapat yang bercanggah dengan kita, sekurangnya hormati pendapat mereka. Ini dapat mengelakkan daripada tercetusnya perbalahan yang sia-sia.

 

2. Beradab ketika memberi komen

Sering kali kita melihat sesetengah pempengaruh atau public figure dikecam di ruangan komen apabila mereka memuat naik gambar ataupun tulisan yang sensitif. Namun ada juga yang saja meninggalkan komen yang berbaur negatif walaupun tiada kaitan dengan isi kandungan yang telah dimuatnaik. Pastikan untuk meninggalkan komen yang tidak menyakitkan hati orang tersebut. Letakkan diri kita di dalam situasi mereka supaya kita dapat berfikir dengan lebih waras sama ada perlu ada tidak memberi komen yang tidak sepatutnya. Gunakanlah perkataan-perkataan yang baik kerana cara penulisan di media sosial dapat mencerminkan personaliti kita di dunia nyata. 

 

3. Tidak menyebarkan maklumat palsu

Setiap apa yang terdapat di dalam media sosial itu tidak semestinya betul dan tepat. Ada gambar yang disunting sehingga menimbulkan fitnah, ada penulisan yang ditulis balik sehingga lari daripada penulisan yang awal dan ada juga cerita yang disampaikan tapi tidak mempunyai sumber yang sebenarnya. Oleh itu, sebagai pengguna kita haruslah menahan diri daripada menyebarkan isu-isu yang kita tidak tahu hujung pangkalnya. Disebabkan perasan FOMO (Fear Of Missing Out) atau tidak mahu ketinggalan, kita terus menyebarkan maklumat yang tidak sahih. Amalkan konsep tabayyun atau kaji maklumat yang diperoleh sebelum menyebarkan. Jangan disebabkan kita, ada pihak yang bermasam muka dan tidak bertegur sapa.

 

4. Tidak menghasut orang lain

Perbuatan menyebarkan sahaja sudah cukup buruk jika dipandang apalagi kalau menghasut. Walaupun kita tidak suka akan seseorang itu dan kerap kali berkata mengenai mereka, namun janganlah menghasut orang lain sekali untuk turut membenci. Sebarkan isu berkaitan individu tersebut kemudian bercerita tentang aib individu tersebut kepada orang lain atas dasar ingin mereka turut bersama mengecam individu tersebut. Simpan aib seseorang itu lebih baik daripada kita berkongsi dengan orang lain atas dasar hanya perkongsian dengan rakan-rakan.

 

5. Menghormati agama, bangsa dan budaya lain

Sebelum memuat naik ke dalam media sosial, ambil kira perkara yang berkaitan dengan agama, bangsa dan budaya yang lain. Elakkan daripada memuatnaik yang boleh mencetus sensitiviti agama, budaya dan bangsa lain. Hal ini kerana apabila timbul isu-isu yang sensitif, ia boleh mencetuskan pergaduhan dan perbalahan antaranya tiga aspek ini. Selain itu, ia dapat memecahkan perpaduan dan keharmonian rakyat jika kita tidak menjaga sensitiviti mereka.

 

Sebaiknya kita menjaga adab ketika berkomunikasi di media sosial. Gunakan media sosial dengan sebaiknya dan jadikan ia sebagai platform untuk menambah pahala serta ilmu. Justeru, Islam mengajarkan umatnya agar sentiasa memelihara adab dan akhlak pada setiap tingkah laku dan pertuturan terutama ketika mana media sosial kini menjadi wahana komunikasi bagi setiap lapisan masyarakat di dunia.

 

Sumber:

https://www.researchgate.net/publication/375771136_ADAB_BERINTERAKSI_DI_MEDIA_SOSIAL_MENURUT_AL-QURAN_DAN_SUNNAH

https://www.youtube.com/watch?v=AJ8aE06GRyA

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?