Korban dari sudut bahasa adalah “dekat” manakala dari sudut istilah membawa maksud binatang-binatang sembelihan yang berkaki empat, disembelih pada Hari Raya Aidiladha di hari-hari tasyriq sebagai bentuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT. Hari Raya Aidiladha merupakan antara salah satu perayaan besar yang dirayakan oleh umat Islam. Ianya disambut pada setiap tahun bermula pada tanggal 10 Zulhijjah sehingga sebelum masuk matahari 13 Zulhijjah. Pada hari tersebut, haiwan-haiwan korban akan disembelih dan dagingnya akan diagih-agihkan kepada umat Islam yang lain. Hukum korban adalah sunat muakkad atau sunat yang dituntut. Oleh itu, umat Islam yang berkemampuan disunatkan dalam melaksanakan ibadah korban ini.
Ibadah korban juga bertujuan untuk memberi peluang kepada umat Islam menzahirkan rasa syukur di atas nikmat yang dikurniakan serta sebagai tanda ketakwaan hati dan kehambaan orang-orang yang beriman kepadaNya. Ibadah korban telah disyariatkan sebagai mengenang peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS. Allah SWT menurunkan perintahNya kepada Nabi Ibrahim AS menerusi mimpi. Ini jelas dinyatakan melalui firman Allah S.W.T:
يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: ”(Ibrahim berkata) wahai anakku, sesungguhnya aku telah melihat di dalam mimpi bahawa aku menyembelih kamu, maka telitikanlah apa pandangan kamu. (Ismail berkata) wahai bapaku, lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu. Nescaya kamu akan mendapati bahawa aku ini – Insha Allah – tergolong dari kalangan mereka yang sabar.”
(Surah al-Saaffat: 102)
Allah SWT sendiri membenarkan dan mengiktiraf mimpi arahan untuk menyembelih Ismail. Firman Allah SWT:
وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَاإِبْرَاهِيمُ قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: ”Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.”
(Surah al-Saaffat: 105)
Menerusi peristiwa ini, jelaslah menampakkan bahawa ibadah korban merupakan penghubung kepada ikatan tauhid umat Islam dari perspektif seorang hamba kepada Penciptanya yang tetap mendahulukan perintah daripada Allah SWT tanpa mengambil kira hasutan nafsu semata-mata. Mengorbankan harta, masa dan tenaga demi memperoleh keredhaan Allah SWT juga dapat mengukuhkan lagi makna tauhid dalam masyarakat.
Oleh itu, sebagai umat Islam yang bertaqwa, ambillah peluang dalam melaksanakan ibadah korban ini kerana peluang seperti ini hanya datang setahun sekali. Marilah berusaha dalam memperoleh keredhaan Allah SWT demi kebahagiaan dunia dan akhirat.
Sumber:
https://mais.gov.my/artikel-dakwah/qurban-manifestasi-ketaatan-kepada-allah-yang-maha-esa/