‘Fitnah’ yang berasal daripada perkataan Arab membawa beberapa makna antaranya ujian, kufur dan kebakaran. Ianya digunakan mengikut kesesuaian situasi. Menurut Imam Nawawi, fitnah disebut sebagai perbuatan memindahkan maklumat yang diperoleh dari seseorang kepada seseorang yang lain dengan tujuan untuk merosakkan hubungan pihak yang difitnah. Masyarakat Melayu mempunyai makna yang khusus iaitu tuduhan yang dicipta dengan tujuan memburukkan dan mengaibkan seseorang yang boleh menjurus kepada porak-peranda dalam kehidupan seseorang itu. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:
كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Maksudnya: “Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya”.
(Riwayat Muslim)
Perbuatan fitnah in boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu:
- Seseorang yang mengada-adakan cerita berkaitan seseorang atau pihak lain dan sebarkan dengan tujuan memburukkan dan menjatuhkan maruah seseorang itu.
- Seseorang yang menerima berita yang disampaikan tanpa menyelidik kesahihan berita tersebut dan kemudiannya menyebarkan sama ada dengan niat memburukkan ataupun tidak.
Pada era yang serba moden ini, teknologi juga bekembang mengikuti arus pemodenan. Perhubungan dengan kenalan melalui media sosial telah memudahkan ramai orang. Namun begitu, ramai juga yang menyalahkan gunakannya dengan menjadikan media sosial sebagai platform dalam menyebarkan fitnah. Facebook, Whatsapp, X dan Instagram telah menjadi tempat untuk menyebarkan berita-berita yang kadang-kala tidak tahu kesahihannya. Penyebaran berlaku sangat luas dan pantas dengan hanya menggunakan media sosial.
Sebelum wujudnya media sosial, perbuatan memfitnah ini selalu berlaku melalui penyampaian mulut ke mulut yang mana sampai sekarang masih dilakukan oleh masyarakat setempat. Tidak kiralah di kedai makan, taman bunga, pejabat atau pasar sekalipun, ianya ibarat telah sebati dengan masyarakat kita.
Setiap perkara mesti ada puncanya begitu juga dengan perbuatan fitnah. Antara sebab-sebab fitnah boleh tercetus adalah sifat dengki sesama manusia, persaingan dalam merebut jawatan atau pangkat, persaingan mendapatkan pasangan hidup, persaingan dalam perniagaan dan persaingan dalam kancah politik. Walaupun begitu, fitnah-memfitnah bukanlah penyelesaiannya. Perbuatan fitnah ini kebiasaannya datang daripada seseorang yang memiliki hati yang kotor serta niat yang jahat. Memiliki perasaan tidak puas hati mendorong mereka untuk mengada-adakan fitnah.
Hakikatnya, perbuatan ini amat disukai oleh golongan syaitan kerana ianya mampu memecahbelahkan ummah. sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.”
(Surah al-Maidah: 91)
Akibat daripada perbuatan fitnah ini, perselisihan antara keluarga, suami isteri, jiran tetangga dan rakan sekerja boleh berlaku. Pertelagahan yang terjadi di dalam ummah akan mendorong kepada pecah-belah dan menjejaskan keharmonian yang sekian lama terbina di dalam masyarakat. Bukan setakat itu sahaja, maruah individu atau pihak yang difitnah akan turut tercemar, menambahkan kekeliruan, mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT yang kemudiannya akan menjerumuskan diri ke dalam neraka Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan Huzaifah R.A:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Orang yang menyebarkan fitnah juga akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka. Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman di dalam Surah al-Nur berkaitan balasan bagi orang yang suka membuat fitnah:
إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: ”Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”
(Surah al-Nur:19)
Oleh itu, hindarkanlah diri daripada bergaul dengan golongan yang suka menyebarkan fitnah dengan memburukkan seseorang tanpa usul periksa. Perbuatan tersebut bukan hanya mendatangkan keburukan ke atas individu yang difitnah, malah memberi kesan negatif kepada masyarakat dan juga diri sendiri.
Sumber:
https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/3483-bayan-linnas-siri-ke-182
https://jaipk.perak.gov.my/index.php/muat-turun-dokumen/category/187-ogos