LGBT adalah singkatan bagi Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender. Lesbian atau Al-Sihaq menurut Islam merujuk kepada perhubungan antara perempuan dan perempuan manakala Gay atau Al-Liwath merujuk kepada perhubungan antara lelaki dan lelaki. Seorang lelaki yang melakukan hubungan seksual dengan dua jantina yang berbeza iaitu lelaki dan perempuan disebut sebagai Bisexual dan Transgender adalah wanita atau lelaki yang menyerupai jantina yang berlainan dengan mereka sehingga mampu mengubah alat kelamin mereka. 

 

LGBT diklasifikasikan sebagai perbuatan songsang kerana perlakuan atau perbuatannya yang melanggar fitrah sebagai seorang manusia. Allah SWT telah mencipta lelaki dan perempuan berpasang-pasangan oleh itu apabila apabila manusia melakukan sebaliknya, ianya seperti telah melanggar hukum Allah. Oleh itu, perbuatan LGBT ini dikategorikan sebagai salah satu dosa besar yang dilakukan oleh manusia kerana ianya perbuatan keji yang mampu merosakkan keperibadian, moral dan agama. Di dalam surah Al-A’raf ayat 80 hingga 81, Allah SWT berfirman:

 

وَلُوطًا إِذۡ قَالَ لِقَوۡمِهِۦٓ أَتَأۡتُونَ ٱلۡفَٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنۡ أَحَدٖ مِّنَ ٱلۡعَٰلَمِينَ

إِنَّكُمۡ لَتَأۡتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهۡوَةٗ مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِۚ بَلۡ أَنتُمۡ قَوۡمٞ مُّسۡرِفُونَ

 

Maksudnya: “Dan (kami juga telah mengutus) Luth ketika dia berkata kepada mereka: “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini)?”. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”

(Surah Al-A’raf: 80-81)

 

Perbuatan LGBT ini bukanlah perkara yang baharu. Kaum Nabi Lut merupakan antara kaum yang melakukan perbuatan terkutuk ini. Walaupun mereka telah dilarang untuk melakukan hubungan songsang tetapi mereka tetap meneruskan perbuatan mereka tanpa mengambil kira akibat yang bakal menimpa mereka. Oleh kerana murka, Allah SWT telah menjatuhkan hukuman ke atas kaum Nabi Lut tersebut dengan menterbalikkan negeri mereka termasuk isteri Nabi Lut sendiri yang mempertahankan perbuatan kaum tersebut. Hanya Nabi Lut serta pengikut-pengikutnya yang beramal soleh terselamat daripada bencana yang menimpa kaum tersebut.

 

Bukan hanya melanggar syariat Islam, merosakkan kemuliaan dan martabat kemanusiaan, bahkan mampu meruntuhkan sistem bermasyarakat yang rukun dan harmoni yang juga antara impak yang besar hasil perbuatan LGBT ini. Selain daripada itu, Allah juga memurkai apabila lelaki mahupun wanita menyerupai jantina yang berlawanan dengan mereka. Menurut hadis daripada Ibnu Abbas Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

 

“Allah tidak akan melihat kepada seorang lelaki yang mendatangi seorang lelaki ataupun seorang perempuan (melakukan hubungan seks) melalui dubur).” 

 

(Riwayat al-Tirmizi)

 

Dalam hadis yang lain yang juga diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

 

“Rasulullah SAW melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.” 

(Riwayat al-Bukhari)

 

Ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW juga membenci umatnya sama ada lelaki mahupun perempuan menyerupai jantina berlawanan dengan mereka. Sesetengah orang menganggap jantina dan perhubungan dengan jantina yang sama adalah hak peribadi dan tidak mendatangkan keburukkan kepasa sesiapa namun impak daripada perhubungan LGBT ini amatlah besar. Akidah orang yang turut menyokong dan mempertahankan LGBT ini juga akan turut rosak. Oleh itu, manusia dikurniakan Al-Quran dan Al-Hadis untuk dijadikan sebagai panduan dan rujukan jika terdapat kecelaruan emosi serta seksual dan tidak berpandukan logik akal manusia semata. Firman Allah dalam surah Al-Anbiya’ ayat 35:

 

كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَنَبۡلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلۡخَيۡرِ فِتۡنَةٗۖ وَإِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ

 

Maksudnya: “Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” 

(Surah Al-Anbiya’: 35)

 

Oleh yang demikian, orang Islam wajib mengikuti panduan yang telah ditetapkan oleh agama menerusi Al-Quran serta Hadis dan tidak mengubah fahaman wahyu sesuka hati berdasarkan pemahaman diri sendiri dan logik akal semata-mata. Jagalah kehormatan diri masing-masing agar tidak terjerumus ke dalam lembah perbuatan LGBT ini yang telah dilaknat oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

 

Sumber:

https://e-khutbah.jais.gov.my/wp-content/uploads/2024/06/2023_f1_1_1701832539.pdf

https://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/Hadis-hadis_Sahih_Berkaitan_Perlakuan_LGBT.pdf

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?