‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’ merupakan antara peribahasa Melayu yang sering didengari oleh rakyat Malaysia. Maksud daripada peribahasa ini adalah setiap perkataan atau kata-kata yang tidak baik keluar dari mulut seseorang dan mampu menyakiti orang lain dapat membinasakan diri kita sendiri. Dari sudut pandang Islam sendiri, setiap penjagaan lisan amat dititik beratkan agar dapat menjaga keharmonian sekeliling.

MAIWP HQ | Kerana mulut badan binasa. Sentiasa menjaga mulut. #MAIWP  #MalaysiaMADANI #PelanAlFalah | Instagram

Fitnah, mengeji, mencaci dan mengumpat adalah antara tutur kata yang tidak baik seseorang dapat lontarkan. Setiap perkataan mahupun penulisan yang menyakitkan seseorang adalah haram hukumnya di sisi agama Islam. Imam Al-Ghazali Rahimahullah menyatakan dalam kitabnya Ihya ‘Ulumuddin bahawa menyebarkan fitnah melalui apa jua cara, sama ada melalui ucapan, isyarat, atau tulisan, adalah haram. Allah SWT juga berfirman di dalam surah Al-Humazah ayat 1 yang berupa ancaman kepada orang yang mencela dan mencaci individu lain:

 

وَيۡلٞ لِّكُلِّ هُمَزَةٖ لُّمَزَةٍ

 

Maksudnya: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji”

(Surah Al-Humazah: 1)

 

Mengikut peredaran zaman, perbuatan fitnah, mencaci atau mengeji lebih muda dilakukan dan lebih cepat tersebar menerusi media sosial. Platform seperti media sosial seharusnya dijadikan sebagai tempat menyebarkan kebaikan dan ilmu-ilmu namun penyalahgunaan ke atas media sosial dengan menyebarkan berita atau perkara tanpa usul periksa dan tidak diketahui kebenarannya. Lebih membimbangkan adalah apabila perkara yang disebarkan tersebut adalah sebuah pembohongan yang kemudiannya mampu bertukar fitnah. Hasil daripada fitnah yang tersebar, ianya mampu mengaibkan individu tertentu. 

 

Justeru itu, sebagai umat Islam, kita wajib untuk menghindari perbuatan yang mampu mencemarkan Islam itu sendiri. Kawal diri untuk menjaga lisan daripada menuturkan kata-kata yang mampu mengguris sesebuah pihak. Jangan disebabkan sifat buruk yang dimiliki oleh seseorang individu akan menjadi penyebab serta perantara berlakunya perpecahan umat.

 

Sumber:

https://jheains.sabah.gov.my/sites/default/files/uploads/khutbah/2023-06/khutbah-08012021.pdf

 

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?