Palestin merupakan salah satu negara Islam yang sudah lama dikenali oleh seluruh dunia terutama sekali kepada umat Islam kerana ianya antara negara yang ada di dalam sejarah Islam sendiri. Namun begitu, situasi di Palestin telah menarik perhatian serta meluluhkan hati seluruh dunia lebih-lebih lagi umat Islam. Konflik di antara Palestin dan Israel bukanlah sebuah isu yang baru namun ianya mulai menarik perhatian seluruh dunia pada 7 Oktober 2024 di mana tentera Hamas yang bertanggungjawab melindungi penduduk Palestin telah melakukan serang mengejut ke atas Tel Aviv dan menahan beberapa orang tahanan pada 6 Oktober 2024. Tentera Zionis melancarkan serangan balas pada 7 Oktober 2024 ke atas Semenanjung Gaza dan tidak mahu menghentikan serangan selagi tahanan mereka tidak dilepaskan.

 

Walaupun ianya kedengaran seperti segala konflik ini mulanya daripada pihak Palestin sendiri, namun ianya hanyalah serangan balas kepada Zionis atas serangan mereka yang sebelum ini. Konflik ini bukan bermula pada 7 Oktober 2024 tetapi ianya telah berlaku sejak tahun 1948. Pada 9 April 1948, kumpulan pengganas Yahudi menyerang dan membunuh 250 orang umat Islam di Dir Yasin, sebahagian yang terbunuh adalah kaum wanita yang lemah. Penduduk yang masih hidup diangkut dengan lori dan diarak di hadapan kaum Yahudi untuk dilontar dengan batu. Israel kemudiannya ditubuhkan pada 14 Mei 1948 dengan mengisytiharkan tanah Palestin sebagai tanah Israel secara rasminya. Namun keesokan harinya, Israel diserang oleh pakatan tentera Lubnan, Syria, Jordan, Mesir, Iraq dan negara Arab yang lain. Dalam peperangan ini, Israel berjaya mengalahkan tentera bersekutu Arab dan malah merampas 78% dari luas wilayah Palestin

 

Bagi penduduk Israel, mereka menganggap tarikh tersebut merupakan hari kemerdekaan bagi mereka namun bagi penduduk Palestin, ia merupakan satu tarikh permulaan titik hitam dalam sejarah mereka. Peristiwa tersebut dikenali sebagai Peristiwa ‘Nakba’ yang membawa maksud sebagai malapetaka di mana ianya merujuk kepada penghapusan etnik Palestin yang dilakukan oleh Israel ke atas mereka. Seramai 750,000 rakyat Palestin diusir daripada tanah mereka sendiri 78% tanah Palestin telah ditawan. Sepanjang tempoh dari 1947 hingga 1949, seramai 15,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam siri kekejaman besar-besaran, termasuk berpuluh-puluh pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel.

 

Peperangan diteruskan sehingga Januari 1949 sehingga terhasil perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Mesir, Lebanon, Syria dan Jordan. Namun, Israel berjaya menduduki keseluruhan tanah Palestin pada perang Jun 1967.

 

Walaupun diserang secara berterusan, rakyat Palestin tetap gagah mempertahankan tanah Palestin dan lebih memilih untuk berjihad mempertahankan tanah mereka. Terdapat beberapa sebab utama kenapa rakyat Palestin dan umat Islam yang lain gagah dan lantang dalam mempertahankan bumi Palestin daripada pencerobohan Israel yang dilihat semakin kejam dan zalim sejak kebelakangan ini. 

Support Masjid Al Aqsa | Muslim Aid

Sebab yang pertama adalah kerana Palestin menempatkan kiblat pertama umat Islam  iaitu Masjid Al-Aqsa sebelum ditukarkan kepada Masjidil Haram. Kedua, Palestin juga menempatkan masjid kedua yang dibina dalam tamadun Islam 40 tahun selepas terbinanya Masjidil Haram. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: 

 

Masjid apakah yang pertama dibangunkan di atas muka bumi ini? Baginda menjawab: Masjid al-Haram. Selepas itu, masjid apa pula? Baginda menjawab Masjid Al-Aqsa. Aku bertanya lagi, berapa lama jarak kedua-duanya dibangunkan? Baginda menjawab: 40 tahun, tetapi di mana pun kamu mendapati waktu solat, maka dirikanlah solat, tempat itulah sebagai masjid.” 

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Sebab yang ketiga adalah Baitul Maqdis adalah tanah suci umat Islam, sebagaimana dinyatakan dan dijelaskan oleh Allah SWT tempat yang menjadi lokasi peristiwa Israk dan Mikraj. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

 

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” 

(Surah al-Isra’: 1)

 

Sebagai seorang umat Islam, sudah menjadi tanggungjawab kita dalam membantu saudara kita yang ketika hidup dalam penindasan dan peperangan. Walaupun berada jauh beribu batu, pelbagai bentuk bantuan yang boleh kita salurkan antaranya adalah memohon doa kepada Allah SWT untuk memberi kemenangan serta dikurniakan pertolongan dan kesabaran ke atas mereka dalam menempuhi situasi yang dialami. Selain itu, sumbangankan semampunya kepada pertubuhan yang dipercayai untuk disalurkan kepada Palestin bagi meringankan beban mereka dalam bentuk makanan serta keperluan harian mereka. Kita juga perlulah melakukan jihad kecil dengan memboikot barangan serta servis yang disediakan dan dikeluarkan oleh syarikat yang mempunyai pertalian dan menyokong Israel. Akhir sekali, syarikat-syarikat di dalam negara juga diseru agar tidak bersekutu dengan syarikat-syarikat yang berkait dengan Israel. Eksport dan import barangan daripada Israel hendaklah dihentikan kerana ianya dapat menyumbang kepada Israel.

 

Sebagai umat Islam, marilah kita bersama-sama berganding bahu mengecam dan menentang tindakan zalim tentera Zionis dan Israel serta orang-orang yang menyokong tindakan yang secara terang-terangan telah melanggar undang-undang dunia dan hak asasi sebagai seorang manusia. Serangan yang berterusan ini telah menyumbang kepada peningkatan kematian yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan kanak-kanak dan wanita sehingga ke hari ini. Bukan itu sahaja, kemusnahan seluruh hospital, sekolah dan tempat perlindungan menyebabkan keadaan semasa di Palestin semakin parah.

 

Sumber:

https://e-khutbah.jais.gov.my/wp-content/uploads/2024/06/2012_f1_1_1700701082.pdf

https://www.hmetro.com.my/addin/2023/11/1030617/sebab-umat-islam-wajib-pertahankan-bumi-palestin

https://lobakmerah.com/apa-itu-nakba-1948-kenapa-ia-merupakan-peristiwa-penting-untuk-diingati-rakyat-palestin/

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?