ADAB MENZIARAHI KUBUR
Menziarahi kubur merupakan antara budaya yang sering dilakukan oleh masyarakat Malaysia lebih-lebih lagi sewaktu perayaan Hari Raya Aidilfitri. Pada awalnya. Rasulullah SAW melarang umatnya untuk berziarah ke kubur namun kemudiannya Nabi membenarkan umatnya berziarah berdasarkan sabda Baginda yang diriwayatkan daripada Buraidah bin al-Hasib:
كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَن زِيَارَةِ القُبُور فَزُورُهَا
Maksudnya: “Adalah aku dahulu telah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahlah.”
(Riwayat Muslim)
Nabi menyuruh umatnya berziarah agar dapat mengingatkan mereka dengan akhirat dan tiada apa pun di dunia ini yang kekal selamanya. Menziarah kubur juga mempunyai adab-adab yang perlu diikuti sebagai tanda hormat kepada penghuni di sana. Antara adab-adab yang boleh diamalkan sewaktu menziarahi kubur adalah:
1. Membetulkan niat
Niat amat penting tak kira walau apa pun yang kita lakukan. Oleh itu, sebelum mengunjungi kubur, pastikan niat di hati betul dan bertepatan dengan tujuan amalan menziarahi kubur. Tanamkan niat yang tulus dan ikhlas bagi mendapatkan redha Allah SWT serta boleh memberi manfaat kepada si mati. Dengan niat yang tulus, kita mengenang dan mendoakan kepada orang yang telah meninggal dunia.
2. Memberi salam
Sejak daripada kecil, ibu bapa akan menyuruh anak mereka untuk memberi salam setiap kali melalui kawasan tanah perkuburan. Perbuatan ini merupakan amalan sunat dan dapat diterapkan ke dalam minda kanak-kanak sehingga mereka meningkat dewasa dan kemudiannya menjadi amalan dewasa kelak. Ucapan yang sebaiknya dilafazkan adalah:
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا أَهْلَ الْقُبُورِ, يَغْفِرُ اللَّهُ لَنَا وَلَكُمْ, أَنْتُمْ سَلَفُنَا وَنَحْنُ بِالْأَثَرِ
Maksudnya: “Salam sejahtera atas kamu wahai ahli kubur. Semoga Allah mengampunkan kami dan kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan mengikuti kamu.”
(Riwayat At-Tirmizi)
Namun lafaz secara ringkasnya dan sering digunakan adalah:
السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا أَهْلَ الْقُبُورِ
Maksudnya: “Salam sejahtera atas kamu wahai ahli kubur”
3. Menutup aurat
Pakailah pakaian yang menutup aurat, sopan dan bersih ketika berziarah ke kubur. Pakaian yang sopan akan melambangkan rasa hormat kita kepada orang yang telah meninggal dunia. Selain itu, ianya dapat mengingatkan kita terhadap tuntutan agama dan bukanlah pilihan untuk kita menutup atau tidak aurat kita.
4. Tidak meratapi
Yang pergi biarlah pergi. Telah tertulis ajal mereka dan kita tiada hak untuk menghalang. Namun sesetengah orang susah untuk menerima takdir yang menjurus kepada ratapan terhadap si mati. Meratapi pemergian seseorang adalah dilarang kerana ia menunjukkan kita seperti tidak menerima ketentuan Allah SWT.
5. Menghindari perbuatan khurafat
Tidak salah untuk percaya perkara-perkara mistik namun yang menjadi kesalahan adalah mengamalkan perkara tersebut sehingga menyebabkan kita terpesong dari landasan yang sebenar. Segelintir masyarakat menjadikan kubur sebagai tempat pemujaan bagi mengubati penyakit, tolak sial atau malang dan serta memohon hajat daripada golongan jin. Perkara khurafat tersebut adalah haram dan boleh dijatuhkan sebagai syirik. Perkara yang menduakan Allah SWT semestinya akan dilaknat jikalau tidak bertaubat sepanjang berada di atas muka bumi ini. Oleh itu, jangan jadikan kubur sebagai tempat pemujaan walhal di situ merupakan tertanamnya seorang ibu, ayah, adik-beradik atau saudara-mara yang terdekat.
6. Elakkan melangkah atau memijak kubur
Sebolehnya elakkan daripada melangkah atau memijak kubur yang lain kerana ianya boleh dilihat sebagai salah satu bentuk penghinaan terhadap si mati walaupun hukumnya adalah makruh. Cari jalan untuk memastikan tiada kubur yang dilangkah. Namun, jika jalan terlalu sempit dan langsung tiada ruang, perkara tersebut akan dianggap tidak makruh.
Amalan menziarahi kubur tidak semestinya dilakukan pada hari raya sahaja. Ziarahlah apabila mempunyai masa sebagai tanda mengingati dan peringatan untuk diri sendiri agar sentiasa mempersiapkan diri sebelum dijemput Ilahi. Tingkatkanlah amal ibadah sebagai bekalan di akhirat kelak.
Sumber:
https://siplus.sinarharian.com.my/isu/5-adab-ziarah-kubur-yang-perlu-anda-ketahui/