Kita dituntut untuk menghormati dan menjaga hubungan baik antara anak-anak dan ibu bapa sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia. Ibu bapa adalah sosok yang telah melahirkan dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Mereka merupakan sumber keberkatan dalam hidup kita. Rasulullah SAW pernah bersabda: 

 

“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan dua ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan kedua-duanya.”

(Riwayat at-Tirmizi)

Keredhaan dan kemurkaan Allah SWT bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, kita perlulah menjaga adab dengan ibu bapa untuk mendapat keberkatan di dalam hidup dan juga sebagai tanda terima kasih dan sayang kepada mereka sepanjang membesarkan kita. Terdapat enam adab menghormati ibu bapa yang boleh diamalkan antaranya ialah:

1. Taat perintah ibu bapa

Menghormati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa merupakan perkara yang dituntut oleh agama. Hal ini kerana mereka merupakan insan yang telah bersusah payah mengorbankan pelbagai perkara bagi membesarkan anak-anak dalam apa jua keadaan. Oleh itu, kita perlulah taat dengan perintah mereka selagi ianya tidak melanggarkan syariat Islam. Allah SWT telah berfirman:

 

وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حُسۡنٗاۖ وَإِن جَٰهَدَاكَ لِتُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَآۚ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ

 

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Dengan-Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”

(Surah al ‘Ankabut: 8)

 

2. Menggunakan bahasa yang sopan

Melihat cara berkomunikasi sahaja sudah boleh menentukan personaliti seseorang. Cara berkomunikasi yang baik oleh anak-anak kebiasaannya bermula daripada keluarga mereka sendiri. Contoh yang baik daripada ibu bapa dapat mencorakkan anak-anak dan kemudiannya akan berbalik kepada ibu bapa itu sendiri. Sebagai seorang anak, pemilihan perkataan dan gaya percakapan amatlah penting ketika berbicara dengan ibu bapa. Penggunaan perkataan yang kasar terhadap ibu bapa dapat mengguris hati mereka dan akan mendatangkan dosa kepada anak-anak. Allah SWT berfirman:

 

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ﴿٢٣﴾ وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

 

Maksudnya: ”Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

(Surah al-Isra’: 23)

3. Membantu meringankan beban

Kebanyakan ibu bapa pada masa kini bekerja dari pagi hingga petang. Kadang-kadang ada yang tiada masa untuk menyelesaikan kerja rumah seperti mengemas rumah atas kesuntukan masa. Oleh itu, anak-anak berperanan untuk meringankan beban ibu bapa mereka dengan membantu mengerjakan kerja rumah. Rasulullah SAW pernah bersabda:

 

“Amal perbuatan yang amat disukai Allah SWT ialah solat (yang tepat) pada waktunya, berbakti kepada orang tua dan berjihad pada jalan Allah.”

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

 

4. Meminta izin jika ingin keluar

Anak-anak merupakan tanggungjawab yang dikurniakan kepada ibu bapa sebagai amanah. Oleh itu, meminta izin sebelum keluar adalah perkara yang perlu diamalkan setiap kali ingin keluar sebagai tanda kita menghormati dan menghargai mereka sebagai penjaga kita. Ini juga untuk memastikan keselamatan diri sendiri dengan memberitahu keberadaan diri kepada ibu bapa.

 

5. Menziarahi ketika berjauhan

Apabila meningkat dewasa, kebanyakkan anak-anak akan berhijrah untuk meneruskan kehidupan sama ada bekerja mahupun mengikut pasangan untuk berhijrah. Masa bersama ibu bapa tidak lagi sama seperti dulu-dulu. Ibu bapa juga semakin tua dibandingkan ketika anak-anak masih kecil. Oleh itu, sebagai anak kita perlulah kerap bertanyakan khabar mereka melalui telefon ataupun panggilan video bagi memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik-baik. Sekali-sekala, gunakan waktu cuti yang panjang untuk menziarahi ibu bapa sekaligus dapat menggembirakan hati ibu bapa yang rindu akan anak-anak dan juga cucu-cucu mereka.

 

6. Mendoakan ibu bapa

Doa merupakan senjata bagi umat Islam. Mendoakan kesejahteraan ibu bapa di dunia dan akhirat merupakan tanggungjawab kita sebagai anak. Tanpa doa ibu bapa, kita tidak akan jadi apa yang kita jadi pada waktu ini. Doa mereka jugalah mungkin menjadi asbab keselamatan kita sehingga ke hari ini. Dengan mendoakan mereka, sedikit sebanyak sebagai membalas budi atas jasa mereka walaupun tidak mampu membalas sepertimana yang diberikan. Walaupun selepas mati, doa anak yang soleh merupakan amalan yang tidak akan terputus dan akan tetap mengalir. Rasulullah SAW bersabda:

 

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

 

Maksudnya: “Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua ibubapanya.” 

(Riwayat Muslim)

 

Ibu bapa merupakan kurniaan Allah SWT yang tidak ternilai. Hargailah dan sayangilah mereka selagi mereka masih bernyawa. Berbaktilah kepada mereka sebanyak yang boleh sehingga suatu saat mereka dijemput Ilahi. Menjadi tanggungjawab kita sebagai anak untuk tetap menjaga ibu bapa walaupun mereka telah dimamah usia. Dosa anak-anak yang menderhakai ibu bapa mereka akan dipercepatkan urusan dan mendapat balasan di dunia. Rasulullah SAW pernah bersabda:

 

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ

 

Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.”

(Riwayat al-Hakim)

 

Sumber:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/3212-irsyad-al-hadith-siri-ke-356-tanggungjawab-anak-terhadap-ibubapa

https://akumuslim.asia/10-adab-dengan-ibu-bapa-yang-anda-perlu-tahu/

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?