Rasulullah SAW amat menggalakkan amalan bertamu ini kepada umatnya. Hal ini kerana tetamu dianggap sebagai pembawa rezeki kepada tuan rumah. Amalan kunjung-mengunjung ini banyak dilakukan ketika hari perayaan sebagai contoh Hari Raya Aidilfitri. Amalan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara tetamu dan tuan rumah. Namun, ramai yang lupa adab ketika berziarah ke rumah tetamu sehingga mengundang ketidakselesaan kepada tuan rumah. Di dalam penulisan kali ini, beberapa adab yang boleh diterapkan ketika berziarah akan dikongsikan. Antaranya adalah:

1. Meminta izin sebelum berkunjung
Sesetengah orang ingin membuat kejutan kepada tuan rumah dengan alasan sudah lama tidak bertemu. Namun, ianya boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada tuan rumah lebih-lebih lagi apabila tuan rumah tidak berada dalam keadaan bersedia. Oleh itu, maklumkan dan minta izin kepada tuan rumah terlebih dahulu sebelum berziarah agar tuan rumah dapat bersedia lebih awal untuk menyiapkan apa yang patut seperti makanan, minuman ataupun bilik jika ingin menginap. Perkara ini amat penting agar tuan rumah tidak berkecil hati dan mengurangkan beban tuan rumah jika datang secara mengejut.
2. Waktu yang sesuai
Mahu berziarah juga ada waktunya. Jika anda mempunyai masa terluang, tidak bermakna tuan rumah juga mempunyai waktu terluang. Mungkin pada waktu itu tuan rumah ingin berehat tanpa ada sebarang gangguan. Seeloknya, hindarkanlah diri daripada berkunjung pada waktu malam. Kebiasaannya, pada waktu malam orang akan berehat dan meluangkan masa bersama keluarga lebih-lebih lagi jika pada pagi tersebut mereka telah menjalankan aktiviti yang memakan banyak tenaga ataupun tuan rumah yang ingin diziarahi itu mempunyai ahli keluarga yang sedang sakit yang mana sewajarnya malam adalah waktu rehat bagi mereka. Oleh itu, sewajarnya bertanya kepada tuan rumah waktu yang mereka lebih selesa untuk dikunjungi.
3. Menjaga perilaku
Jika di lihat di media sosial, banyak tuan rumah yang menceritakan perkara yang berlaku di rumah mereka apabila tetamu berkunjung. Pecah pasu bunga, televisyen, pinggan, langsir terkoyak ataupun air tertumpah di sofa. Kebiasaannya, tetamu yang membawa anak kecil akan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini seperti ini. Oleh itu, tetamu berperanan menjaga tingkah laku lebih-lebih lagi yang membawa anak-anak kecil. Perhatikan tingkah laku dan nasihat anak-anak apa yang tidak boleh dibuat sepanjang berada di rumah tetamu. Menjaga tingkah laku ini tidak hanya tertakluk kepada kanak-kanak, orang dewasa juga perlulah menjaga kata-kata serta mata dan elak bersikap bangga diri di hadapan tuan rumah. Ianya boleh membuatkan tuan rumah berasa tidak senang dengan sikap tetamu.
4. Menghormati privasi tuan rumah
Elakkan menjaga tepi kain tuan rumah. Jikalau semasa berkunjung ada masalah yang timbul di dalam rumah tersebut, elakkan diri daripada memasang telinga untuk mendengar. Butakan mata, pekakkan telinga sepanjang berkunjung ke rumah orang bagi mengelakkan sebarang fitnah jika perkara yang didengar atau dilihat itu disebarkan ke orang ramai. Ianya akan menjatuhkan air muka tuan rumah tersebut apabila cerita peribadi keluarga mereka tersebar.
5. Mengucapkan syukur dan terima kasih
Setelah berkunjung dan ingin pulang, pastikan untuk mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah atas kesudian menerima kita sebagai seorang tetamu. Ucapan terima kasih itu adalah tanda penghargaan kita sebagai tetamu. Mungkin dengan ucapan tersebut membuatkan tuan rumah berasa lebih dihargai dan gembira untuk menerima kita sebagai tetamu lagi pada masa akan datang. Ia juga sebagai tanda kunjungan itu diakhiri dalam keadaan yang positif dan tiada unsur-unsur negatif antara tetamu dan tuan rumah.
Pentingnya kita sebagai tetamu untuk menjaga adab ketika menziarahi rumah orang. Jadikan tujuan berkunjung untuk mengeratkan ukhuwah sesama kita. Jika ada perselisihan faham, jadikan ia sebagai masa untuk berdamai dan memperbaiki silaturahim yang hampir terputus sebelum ini.
Sumber:
https://perkimdk.com/adab-ketika-menziarahi/
https://www.projektravel.net/2017/06/9-adab-menjadi-tetamu-rumah-terbuka.html