Ilmu dari segi istilah bermaksud segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datangnya dari Allah. Menuntut ilmu merupakan perkara yang amat dituntut oleh Islam. Terdapat banyak dalil daripada Al-Quran dan al-Sunnah serta kata-kata golongan ulama dan cerdik pandai tentang kelebihan-kelebihan bagi golongan yang menuntut ilmu. Allah SWT juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya:

 

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

 

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. 

(Surah al-Mujadalah:11)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

 

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. 

(Riwayat Muslim)

 

Oleh itu, adab sebagai seorang penuntut ilmu perlu dijaga agar ilmu-ilmu yang diperoleh akan diberkati Allah SWT. Terdapat beberapa adab menuntut ilmu yang boleh diamalkan oleh pembaca yang ingin kami kongsikan bersama antaranya ialah:

 

1. Tetapkan niat menuntut ilmu kerana Allah

Pastikan niat untuk menuntut ilmu pada setiap hari adalah kerana Allah SWT dan tidak mengejar ganjaran berbentuk duniawi semata-mata. Kebanyakan orang mempunyai keinginan untuk menjadi yang terbaik yang kemudiannya menjurus kepada perlumbaan sesama mereka untuk mengejar keputusan yang cemerlang dan bermegah dengan pencapaian sendiri. Ilmu ini tidak hanya tertakluk kepada ilmu yang dipelajari di sekolah sahaja namun ia meliputi aspek yang luas di mana ia juga tidak boleh diukur dengan hanya melalui peperiksaan yang memakan masa beberapa jam sahaja.

 

2. Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu

Ketika menuntut ilmu, jangan bazirkan waktu dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Isi setiap waktu dengan mempelajari perkara baharu serta membuat latihan untuk memastikan ilmu yang dipelajari kekal di ingatan. Bersungguh-sungguh dan jangan malu untuk bertanya kepada guru atau pengajar. Jangan tanamkan sifat sambil lewa di dalam diri ketika belajar kerana ilmu itu merupakan salah satu harta yang amat berharga. Rasulullah SAW pernah bersabda:

 

“Dua orang yang rakus yang tidak pernah kenyang: iaitu (1) orang yang rakus terhadap ilmu dan tidak pernah kenyang dengannya dan (2) orang yang rakus terhadap dunia dan tidak pernah kenyang dengannya.”

(Riwayat al-Baihaqi)

 

3. Memiliki sifat kesabaran yang tinggi

Belajar bukanlah perkara yang mudah dan memakan masa yang agak lama kerana prosesnya yang amat mencabar. Ilmu itu luas dan tiada berpenghujung. Oleh itu, tidak ada seorang pun boleh merasa puas dengan ilmu mereka yang sedia ada di dada. Jangan mudah mengalah dan berputus asa dengan ilmu kerana menuntut ilmu juga merupakan salah satu ibadah.

 

4. Menghormati guru 

Sebagai seseorang yang menyampaikan ilmu kepada kita, guru haruslah dihormati untuk memastikan ilmu yang kita terima itu memperoleh keberkatan daripada Allah SWT. Tanpa keberkatan daripada Allah SWT, kita akan mudah lupa akan ilmu-ilmu yang telah disampaikan oleh guru-guru. Oleh itu, kita seharusnya menjaga pertuturan, tingkah laku dan apa-apa sahaja perbuatan yang mampu melukakan hati seorang guru. 

 

5. Mengulangkaji pelajaran

Manusia itu sifatnya mudah lupa. Oleh itu, mempelajari ilmu sahaja tidak mencukupi. Kita seharusnya mengulangkaji pelajaran agar ilmu yang kita peroleh itu kekal dalam ingatan. Pelajar boleh melakukan pelbagai cara untuk mengekalkan ilmu tersebut sebagai contoh, berbincang atau mengajar bersama rakan-rakan mengenai topik yang telah dipelajari pada hari tersebut. Amalkan ilmu yang dipelajari kerana ilmu tanpa amal tidak akan mendatangkan sebarang hasil kepada diri sendiri.

 

6. Merendah diri

Ilmu penuh di dada bukanlah tiket untuk seseorang itu merendahkan orang lain dan bermegah dengan kelebihan yang dimiliki. Semakin banyak ilmu yang kita peroleh, semakin banyak perkara yang masih tidak kita ketahui dan teroka. Perbuatan memperlekehkan orang lain di atas kekurangan ilmu mereka amatlah tidak wajar dan seharusnya sebagai seseorang yang memiliki kelebihan dari segi ilmu, berilah tunjuk ajar kepada mereka. Bangga dengan ilmu yang dimiliki boleh membinasakan diri sendiri kerana sifat tersebut tidak disukai oleh Allah SWT. Maka, sentiasalah mengingatkan diri untuk kekal merendah diri ketika menuntut ilmu agar ilmu yang dimiliki itu diredhai dan diberkati oleh Allah SWT.

 

Segala ilmu yang kita pelajari dan peroleh datangnya dari Allah SWT. Oleh itu, kita sebagai hamba-Nya perlulah menghormati ilmu Allah dengan mengamalkan adab-adab yang bersesuaian dengan menuntut ilmu. Pastikan juga ilmu yang diperoleh digunakan sebaiknya dan tidak bercanggah dengan ajaran sebenarnya yang boleh menjuruskan kepada perbuatan negatif.

 

Sumber:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1122-irsyad-al-hadith-siri-ke-109-kelebihan-menuntut-ilmu

https://taqwa.my/adab-menuntut-ilmu/

https://madinitravel.com/adab-adab-menuntut-ilmu/

https://azdan.my/2023/06/08/hukum-tajwid/

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?