Tajwid jika difahamkan dari sudut bahasa ialah memperelokkan atau mencantikkan sesuatu. Di dalam konteks penulisan kali ini, ilmu tajwid adalah ilmu yang berhubung dengan Al-Quran. Hukum mempelajari ilmu tajwid bagi umat Islam ialah fardu kifayah dimana seseorang atau orang di sekitar kawasan tersebut perlu mengetahui ilmu tajwid dan jika tiada seorang pun yang mengetahui ilmu tajwid, orang di kawasan itu dikira berdosa. Terdapat empat kepentingan perlunya membaca Al-Quran secara bertajwid. Antaranya ialah:
1. Mengelak daripada kesalahan-kesalahan dalam membaca Al-Quran
Seseorang itu akan dapat mengelakkan diri mereka daripada melakukan kesalahan-kesalahan ketika membaca Al-Quran yang boleh menjuruskan kepada kerosakkan serta mencacatkan bacaan. Sebagai umat Islam, membaca Al-Quran secara bertajwid adalah wajib. Oleh itu, jika seseorang muslim membaca Al-Quran dengan bacaan yang salah, mereka akan mendapat dosa atas perbuatan mereka itu.
Imam al-Jazari menukilkan dalam matannya yang terkenal:
وَالأَخْذُ بِالتَّجْوِيدِ حَتْمٌ لازِمُ … مَنْ لَمْ يُجَوِّدِ الْقُرَآنَ آثِمُ
Maksudnya: ”Dan mengambil (membaca) dengan tajwid adalah wajib, barangsiapa yang tidak memperelokkan al-Quran (bacaannya) maka dia berdosa.”
(Lihat: al-Muqaddimah al-Jazariyyah; hlm. 11)
Ibn al-Jazari berkata ketika mensyarahkan matan bapanya:
وذلك واجب على من يقدر… لأن الله تعالى أنزل به كتابه المجيد ووصل من نبيه عليه الصلاة والسلام متواترا بالتجويد قوله: (من لم يصحح القرآن) أي من لم يصحح القرآن مع قدرته على ذلك فهو آثم عاص
Maksudnya: “Kewajipan ini adalah pada mereka yang mampu,…kerana Allah S.W.T menurunkan kitabNya dan telah sampai (kepada kita) daripada NabiNya S.A.W dengan bertajwid secara mutawatir, dan pada ayat barangsiapa yang tidak membaca al-Quran dengan baik sedangkan dia mampu, maka dia berdosa dan telah melakukan kemaksiatan.”
(Lihat: Syarh Toyyibatu al-Nasyr li Ibn al-Jazariyy; hlm.35)
2. Meningkatkan minat membaca Al-Quran
Apabila seseorang itu sudah mahir dalam ilmu tajwid mereka dan menerapkan di dalam pembacaan, mereka akan terasa lebih yakin dan terhindar daripada kesilapan serta kualiti bacaan mereka akan terpelihara. Ini akan menjadikan mereka lebih cenderung untuk meningkatkan pembacaan mereka dan kemudian akan mendorong untuk lebih cenderung dalam mempelajari dan mendalami makna-makna isi yang terkandung di dalam Al-Quran.
3. Memperoleh keyakinan dalam pembacaan Al-Quran yang betul
Kemahiran yang diterapkan akan menjadikan seseorang itu lebih berkeyakinan dengan pembacaan Al-Quran mereka dan tidak merasa ragu jika menjumpai ataupun ditanyakan mengenai ayat atau cara bacaan yang sebenar. Namun begitu, apabila seseorang memandang rendah dan tidak mengetahui tentang hukum tajwid yang sebenar, mereka akan kerap merasa gelisah dan tidak tenang atas faktor kurang keyakinan jika bacaan mereka itu betul ataupun salah.
4. Memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat
Akhir sekali, seseorang itu akan memperoleh kebahagiaan sama ada di dunia mahupun di akhirat jika mereka mampu menguasai ilmu tajwid. Terdapat banyak kelebihan membaca Al-Quran yang telah diterangkan di dalam Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Fathir:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتۡلُونَ كِتَٰبَ ٱللَّهِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُواْ مِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ سِرّٗا وَعَلَانِيَةٗ يَرۡجُونَ تِجَٰرَةٗ لَّن تَبُورَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta menginfaqkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka dengan mengharapkan (daripada amalan yang demikian) sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”.
(Surah Fathir: 29)
Begitu juga dengan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abu Umamah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya”.
(Riwayat Muslim)
Tujuan Al-Quran perlu dibaca secara bertajwid adalah untuk melindungi lidah daripada melakukan kesalahan ketika membaca kitab suci umat Islam ini. Hal ini kerana, jika ayat-ayat Al-Quran dibaca dengan bacaan yang salah, ianya mampu merubah makna ayat tersebut. Oleh itu, setiap umat Islam perlulah berusaha mempelajari ilmu tajwid agar Al-Quran dapat dipelihara.
Sumber:
https://www.haraki.my/kepentingan-tajwid-dalam-bacaan-al-quran/
https://ibadurrahman99.wordpress.com/2011/08/17/hukum-dan-kepentingan-membaca-al-quran-bertajwid/
https://ustazustazah.com/kepentingan-mempelajari-ilmu-tajwid/