Al-Quran merupakan salah satu mukjizat yang telah diturunkan kepada umat Islam melalui Nabi Muhammad SAW sebagai wahyu. Anugerah yang telah dikurniakan ini merupakan panduan dan pedoman hidup yang harus diikuti oleh setiap umat manusia agar mereka tidak terpesong dan sentiasa melalui jalan yang benar.

 

Umat Islam perlu membaca dan mempelajari Al-Quran sebagai salah satu sumber pahala dalam kehidupan seharian mereka. Nabi Muhammad SAW sendiri amat menggalakkan umatnya untuk menjadikan Al-Quran sebagai amalan setiap hari kerana insan yang mengamalkan membaca Al-Quran akan dikurniakan syafaat dan penolong mereka di akhirat kelak. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili RA, bahawa  Rasulullah SAW bersabda.

 

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

 

Maksudnya: “Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” 

(Riwayat Muslim)

 

Hadis ini menjelaskan kepada kita untuk menjadikan Al-Quran sebagai bahan rujukan dan bacaan yang utama dalam kehidupan seharian kita. Dengan adanya Al-Quran sebagai amalan harian, kita dapat mempersiapkan diri dengan bekalan di akhirat kelak dengan menjadikan Al-Quran sebagai penolong kerana kelak tiada siapa yang dapat membantu melainkan diri sendiri dengan sentiasa mendampingi Al-Quran dan beramal, berpegang teguh serta yakin dengan isi kandungan Al-Quran itu sendiri.

 

Setiap manusia akan merasai kepanasan ketika berada di padang mahsyar kelak namun hanya beberapa orang terpilih sahaja yang akan memperolehi teduhan daripada Allah SWT yang mana di ketika hayat mereka sentiasa berdamping dengan Al-Quran. Surah Al-Baqarah dan Ali Imran disebut di dalam hadis sebagai dua surah yang akan menjadi teduhan kepada sesiapa yang bersahabat dengan Al-Quran.

 

Di antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda :

 

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلاَ تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

 

Maksudnya : “Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.”

(Riwayat Muslim)

 

Selagi hayat dikandung badan, jadikanlah Al-Quran sebagai asbab kepada kita dalam menuju ke Jannah iaitu destinasi terakhir untuk umat manusia dengan menjadikannya sebagai rutin harian kita.

 

Sumber:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/4442-irsyad-al-hadith-siri-ke-497-al-quran-datang-dalam-bentuk-lelaki-pada-hari-kiamat-adakah-al-quran-itu-makhluk

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-ramadhan/2039-puasa-dan-al-quran-pemberi-syafaat 

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?