Al-Quran merupakan kitab suci umat Islam yang menjadi panduan hidup yang telah diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW. Kebanyakan orang tahu Al-Quran merupakan perkara yang penting dan dituntut oleh Islam untuk dibaca dan diamalkan sebagai panduan hidup. Namun, sesetengah orang tidak mengetahui terdapat banyak kelebihan kepada sesiapa yang membaca Al-Quran. Di dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan beberapa kelebihan membaca Al-Quran untuk memberi dorongan kepada pembaca agar lebih bersemangat untuk membaca Al-Quran setiap hari.
1. Bacaan menjadi semakin lancar
Ketika permulaan membaca Al-Quran, kebanyakan orang merangkak dan tidak lancar. Namun, apabila kerap membaca Al-Quran dan ianya dijadikan amalan, ia membantu melancarkan cara bacaan dan tidak lagi merangkak. Selain itu, hukum tajwid yang sebenar dapat dipelajari melalui pembacaan Al-Quran. Kesalahan-kesalahan kecil ketika membaca juga dapat dielakkan.
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ، وَارْتَقِ، وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا
Maksudnya: “Dikatakan kepada pembaca al-Quran: Bacalah dan naiklah, bacalah sebagaimana kamu membacanya di dunia. Sesungguhnya tempat kamu(di Syurga) adalah pada ayat terakhir yang kamu bacakannya”.
(Riwayat Abu Daud)
2. Memperoleh pahala
Membaca Al-Quran antara salah satu sumber pahala yang senang diperoleh oleh umat Islam. Setiap satu huruf apabila dibaca, pembaca akan memperoleh satu kebaikan kepada mereka dan setiap satu kebaikan tersebut akan digandakan 10 kebaikan. Menurut hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”.
(Riwayat al-Tirmizi)
Selain itu, Al-Quran juga dapat menaikkan darjat pembaca di sisi Allah SWT jika kitab suci tersebut dibaca berterusan. Sebagaimana yang dikatakan oleh Amr bin Ash:
“Barangsiapa membaca Al-Quran maka mereka akan dinaikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka sahaja.”
3. Menambah ilmu dan pengetahuan
Seperti yang diketahui umum, Al-Quran merupakan panduan hidup umat Islam. Tidak kisah dari segi sosial, agama, sains, sejarah dan lain-lain, semua pengetahuan yang ada di dunia ini terkandung di dalam Al-Quran. Membaca Al-Quran dan memahami isi kandungannya sekaligus dapat meningkatkan ilmu dan pengetahuan pembacanya. Jadi, tidak hairanlah jika seseorang itu mendapatkan ilmu tentang sekeliling sama ada perkara lepas, perkara yang sedang berlaku dan juga perkara akan datang hanya melalui pembacaan Al-Quran yang kerap.
4. Memperkuatkan iman
Kitab suci Al-Quran ini diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia. Di dalamnya mengandungi tentang kebesaran dan juga kekuasaan Allah SWT di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu, dengan menjadikan Al-Quran sebagai amalan harian, ianya mampu meningkatkan keimanan umat Islam dengan mengingatkan segala yang terkandung di dunia dan juga segala perkara yang berlaku berpunca daripada kehendak dan kekuasaan Allah SWT.
Oleh itu, Muslimin seharusnya menjadikan amalan membaca Al-Quran sebagai amalan sehari-hari. Bukan sahaja ianya dituntut oleh agama sendiri malah dapat memberikan kita beberapa kelebihan yang semestinya mampu memberi manfaat sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Sumber:
https://jomalquran.my/kelebihan-membaca-al-quran/
https://azdan.my/2023/06/08/ini-dia-kelebihan-mengaji-al-quran-yang-perlu-anda-tahu/