Boleh dikatakan hampir setiap masa kita nampak luahan ibu bapa, guru ataupun orang awam berkenaan sikap anak-anak muda zaman sekarang yang boleh dikatakan kurang adab jika ingin dibandingkan dengan remaja terdahulu. Tidak dinafikan kemajuan teknologi juga adalah salah satu punca utama apabila kebanyakan anak-anak bergantung kepada kemudahan gajet lebih-lebih lagi apabila telah disalahguna. Penggunaan media sosial yang berlebihan menjadi punca mereka terpengaruh dengan perlakuan buruk yang dipamerkan di platform-platform yang disediakan. 

 

Namun, gajet bukanlah satu-satunya punca hilangnya adab dalam diri anak-anak zaman sekarang. Antara punca-punca yang boleh diambil kira adalah membesar dalam suasana yang ‘keras’ di mana membesar dengan melihat ibu bapa bergaduh setiap masa dan sentiasa dibentak menyebabkan anak hilang rasa hormat kepada ibu bapa. Selain itu, kurang perhatian serta kasih sayang daripada ibu bapa kerana kesibukkan kerja menyebabkan mereka lebih banyak menghabiskan masa sendirian ataupun bersama kawan. Ianya boleh menjurus penyalahan dalam memilih kawan dan menyebabkan banyak terpengaruh dengan perangai buruk rakan mereka akibat daripada tiada pengawasan daripada ibu bapa. Bukan setakat kawan sahaja, ibu bapa juga antara punca di mana mereka kerap menunjukkan contoh yang buruk kepada anak-anak. Sebagai contoh, memaki hamun, cepat baran dan tidak boleh ditegur jika membuat kesilapan. Terlalu memanjakan anak juga dapat membuatkan mereka hilang hormat kepada ibu bapa kerana sentiasa dituruti segala kehendak.

 

Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan adab yang sepatutnya ada di dalam diri setiap anak-anak dapat diterapkan dan dikekalkan sehingga dewasa dalam membina generasi yang bertamadun. Antara adab yang perlu diajar kepada anak-anak seawal kanak-kanak adalah mengajar mereka untuk elak memperkatakan tentang rupa paras serta fizikal seseorang. Ajar mereka bahawa semua ciptaan Allah SWT itu indah dan tiada cela serta didik mereka untuk menilai seseorang itu menerusi perangai dan budi pekerti mereka tanpa melibatkan fizikal. Selain itu, sentiasa mengingatkan mereka supaya tidak mencelah ketika orang dewasa berbicara kecuali apabila perlu. Mulakan dengan perkataan maaf sebelum mencelah. Ingat, mencelah hanya apabila ada perkara yang penting sahaja.

 

Seterusnya, ajar mereka menghormati privasi ibu bapa dan orang sekeliling. Sebagai contoh, didik mereka untuk mengetuk pintu dan minta izin sebelum masuk ke dalam bilik ibu bapa. Apabila diberi hadiah atau apa sahaja bentuk pemberian, didik mereka untuk mengucapkan terima kasih dan hargai setiap pemberian yang diterima. Jangan sesekali menunjukkan riak muka yang tidak menyenangkan apabila pemberian tidak mencapai harapan mereka dan fahamkan nilai usaha yang telah dilakukan oleh pemberi. 

 

Kebanyakkan anak-anak menjadi ‘picky eater’ setelah meningkat dewasa. Hal ini kerana ibu bapa terlalu mengikut kehendak anak-anak mereka jika mereka tidak menyukai sesuatu hidangan itu. Ajar mereka untuk bersyukur dengan rezeki yang telah diberikan dan ingatkan mereka bahawa ada insan yang susah dan mungkin tidak mampu untuk menjamah makanan seperti mereka. Terapkan juga mereka untuk mengambil makanan yang berhampiran dahulu sebelum mencapai makanan yang jauh.

 

Nilai kesopanan merupakan tunjang kepada kejayaan anak-anak. Ibu bapa merupakan insan yang bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak untuk menjadi manusia yang penuh dengan adab dengan menunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Di dalam Islam sendiri juga menekankan bahawa adab merupakan pelajaran pertama yang perlu diajarkan kepada anak-anak berbanding ilmu yang lain. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, didikan adab perlulah diterapkan ketika anak-anak masih kecil kerana keadaan persekitaran akan mempengaruhi mereka apabila meningkat dewasa.

 

Sumber:

http://ilhamfamilysihat.blogspot.com/2019/04/8-punca-anak-anak-hilang-adab.html

https://siraplimau.com/cara-mendidik-anak-kecil-islam-adab/

https://www.mstar.com.my/xpose/famili/2023/03/01/elak-anak-kurang-beradab-ini-13-common-sense-susah-nak-lihat-pada-kanak-kanak-zaman-sekarang

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?