Hati dan jiwa manusia merupakan asas dan memainkan peranan yang penting dalam membentuk sifat dan menjadikan siapa diri kita. Apabila seseorang itu sentiasa dibelenggu perkara yang negatif, ianya dapat menjadikan hati kita gelap dan membentuk sifat-sifat mazmumah di dalam jiwa kita namun apabila seseorang itu sentiasa menerapkan perkara yang positif, jiwa akan lebih tenang dan diri akan melahirkan sifat-sifat yang mahmudah. Untuk itu, salah satu cara untuk membentuk diri menjadi lebih positif adalah dengan menjadi seorang yang pemaaf.

 

Memaafkan bukan bermaksud kita kalah walaupun berada di pihak yang benar. Ianya menandakan kita berlapang dada dalam menghadapi ujian walaupun berat dan untuk mengelak sebarang kemungkinan yang dapat menjurus kepada pertelingkahan. Kemenangan yang sebenar terletak pada ketenangan diri tanpa perlu membinasakan diri dengan menyimpan dendam dan hasad dengki terhadap seseorang.

 

Sifat yang positif sudah semestinya menjadi salah satu sifat yang ada pada Rasulullah SAW. sebagai seorang umat Islam, mencontohi sunnah Rasulullah SAW adalah perkara yang digalakkan dan di antaranya menjadi seorang yang pemaaf. Mungkin perkara yang dilakukan oleh pihak yang lain amatlah berat namun janganlah kita mendoakan kecelakaan kepada mereka sebaliknya doakanlah mereka supaya diberi hidayah dan diberikan keampunan atas perbuatan mereka. 

JADILAH SEORANG YANG PEMAAF KERANA SIFAT PEMAAF ADALAH SIFAT IMAN YANG  PALING UTAMA SERTA MENDAPAT KEAMPUNAN DARI ALLAH SWT | Al-Haq Centre  Malaysia

Sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di dalam satu peristiwa, ketika Baginda berhijrah ke kota Thaif untuk menyampaikan dakwah namun ditolak serta dilempar batu oleh pemuda Bani Thaqif sehingga berdarah kaki Baginda. Kemudian Jibril a.s. menawarkan kepada Baginda untuk menurunkan bala ke atas mereka. Namun begitu, Rasulullah SAW menolak tawaran tersebut menolak tawaran tersebut dan Baginda memaafkan penduduk Thaif dan kemudian mendoakan supaya Allah SWT memberikan pengampunan kepada mereka. Daripada peristiwa ini, ia menunjukkan betapa mulia hati Rasulullah SAW walaupun ujian yang dilalui oleh Baginda amatlah berat.

 

Memaafkan sesama insan merupakan amalan yang sangat mulia di sisi Allah SWT dan seharusnya setiap umat Islam mengamalkannya. Bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan sesama Islam malah memudahkan kita dalam mengejar syurga Allah. Antara kelebihan menerapkan sifat pemaaf dalam diri adalah diberi ganjaran pahala serta ditinggikan darjat serta kemuliaan seseorang yang memaafkan insan lain seperti di dalam sabda Rasulullah SAW:

 

“Harta tidak akan berkurangan sengan sebab sedekah. Dan Allah SWT tidak akan menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain), melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah SWT akan mengangkatkan darjatnya”

(Sahih Muslim)

 

Justeru itu, mohonlah keampunan kepada insan yang pernah kita lakukan kesilapan terhadap mereka. Buang segala sifat ego dan sombong di dalam diri kita yang juga merupakan salah satu sifat mazmumah yang akan merosakkan hati kita. Akui setiap kesalahan yang telah dilakukan dan tanpa kita sedar perbuatan tersebut telah menjadi penawar kepada hati kita sendiri. Sentiasa amalkan sikap memaafkan sesama manusia kerana dosa yang melibatkan manusia hanya akan diampunkan oleh Allah SWT setelah dimaafkan oleh insan yang pernah kita lukai.

 

Sumber:

https://jheains.sabah.gov.my/sites/default/files/uploads/khutbah/2023-11/%5B04082023%5D%20SIFAT%20PEMAAF%2C%20PENAWAR%20HATI.pdf

https://www.hmetro.com.my/addin/2018/07/354859/contohi-sikap-pemaaf-rasulullah

https://mediapermata.com.bn/hati-lembut-jadi-pemaaf/

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?