Lahirnya Rasulullah SAW di dunia memberi satu cahaya baru kepada umat manusia. Baginda diutuskan Allah SWT ke dunia berjaya membimbing umat manusia yang sekian lama terpesong menuju ke jalan yang lurus iaitu Islam. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 153:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah Al-An’am: 153)
Tugas Rasulullah SAW di dunia adalah untuk menyampaikan risalah serta ajaran Islam dan dalam masa yang sama, Baginda juga menunjukkan contoh teladan yang baik dengan sebaiknya dalam mencerminkan keindahan Islam itu sendiri. Cara Baginda bercakap, bertingkah laku dan menunjukkan sikap beliau semuanya jelas memantulkan kehendak Allah terhadap hambanya. Oleh yang demikian, untuk mempamerkan rasa cinta dan sayang terhadap junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW, umat Islam perlulah mencontohi segala keperibadian Baginda. Keperibadian Baginda mampu memberikan manfaat kepada kita sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Selari dengan peredaran masa, timbul terlalu banyak personaliti dan artis sama ada di negara kita dan juga negara Barat. Segala apa yang dimiliki oleh mereka menjadikan manusia kagum akan mereka dan dijadikan sebagai idola pada masa kini. Walhal, mereka lebih banyak menunjukkan pengaruh yang buruk serta menggalakkan hedonisme yang mampu melalaikan manusia. Sebaiknya, jadikanlah Rasulullah SAW yang jelas menunjukkan teladan yang baik dan tiada yang dapat menandingi keperibadian Baginda yang mulia itu serta budi pekerti yang tinggi.
Memetik kisah perjalanan Baginda dalam menyampaikan dakwah, Baginda pernah dipulaukan oleh musyrikin Makkah lantaran penyebaran dakwah Baginda yang bertentangan dengan agama nenek moyang mereka. Namun, sejurus sahaja pembukaan Kota Makkah, Rasulullah SAW memaafkan segala tindakan mereka ke atas Baginda dan melepaskan mereka dengan berpegang kepada prinsip kemaafan dan tiada sebarang dendam. Tindakan Rasulullah SAW itu telah menggambarkan ketinggian budi pekerti yang tiada tara.
Antara contoh akhlak Rasulullah SAW yang dapat kita jadikan sebagai pelajaran dan ikuti adalah bersifat adil, yang mana harus berada di dalam diri setiap pemimpin, bersifat benar yang bermaksud segala apa yang dikatakan oleh Baginda adalah benar, lembut dalam ucapan dan tindakan. Tidak kira antara ahli keluarga, para sahabat atau musuh sekalipun, Baginda sentiasa bersikap lemah-lembut. Seterusnya adalah membawa rahmat kepada seluruh alam dan akhir sekali sentiasa bersabar.
Rasulullah SAW amatlah sempurna untuk dijadikan sebagai teladan sama ada dari sudut kepimpinan, kekeluargaan, persaudaraan serta perniagaan dan banyak lagi aspek yang boleh diambil sebagai contoh untuk diikuti. Tidak perlulah mencari tokoh yang lain untuk dijadikan sebagai pelajaran apabila wujudnya contoh yang sesempurna Rasulullah SAW. kebijaksanaan dan personaliti Rasulullah juga telah membawa kepada perubahan terhadap dunia sejak lebih 1,400 tahun yang lalu.
Sumber:
https://www.usim.edu.my/ms/berita/in-our-words-ms/rasulullah-saw-model-teladan-umat-sepanjang-zaman/
https://www.hmetro.com.my/rencana/2021/10/768882/ikon-keperibadian-terpuji