Pentingnya mewujudkan hubungan yang baik sesama manusia lebih-lebih lagi umat Islam. Dengan memelihara hubungan yang baik, ianya dapat menjamin keharmonian dan kesejahteraan hidup. Menyambung tali persaudaraan sesama Muslim merupakan kewajipan untuk kita agar hubungan kekeluargaan dan persahabatan dapat dibina dengan baik.
Apabila sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dapat menunjukkan diri kita sebagai seorang mukmin yang baik. Hal ini kerana, iman seseorang itu akan dikira sempurna jika mereka tidak merosakkan hubungan persaudaraan sesama umat Islam. Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسه.
Maksudnya: “Tidak beriman (secara sempurna) seseorang kamu hingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dengan terjalinnya persaudaraan Islam atau ukhwah Islamiah, nikmat kekuatan iman serta ketakwaan kepada Allah SWT akan melahirkan kasih dan sayang yang mendalam, timbul perasaan saling mempercayai dan hormat-menghormati sesama manusia. Dari situ akan terbit perasaan ikhlas yang tidak berbelah bahagi dalam berkasih sayang, tolong-menolong dan saling memaafkan. Oleh itu, ukhwah tak akan terwujud tanpa hadirnya iman serta takwa dalam diri.
Sesetengah orang mungkin memandang ringan akan ukhwah yang terjalin namun mungkin mereka tidak tahu bahawa ganjaran besar yang disediakan oleh Allah SWT sentiasa menanti mereka yang sentiasa menjaga serta mengutamakan hubungan sesama manusia.
Utamakan ukhwah Islamiah yang terjalin berbanding ketaksuban yang melampau terhadap sesuatu perkara. Mengambil contoh terdekat, apabila dua pihak yang berbeza fahaman politik bertemu, mereka seharusnya mementingkan ukhwah Islamiah yang telah mereka bina berbanding dengan parti politik. Parti politik itu sifatnya sementara manakala ukhwah yang dibina bersifat selamanya dan mampu mendorong kita ke syurga. Oleh itu, sentiasalah mendahulukan ukhwah berbanding dengan perkara-perkara bersifat duniawi agar terhindar daripada berlakunya porak-peranda di dalam sesebuah masyarakat.
Sesiapa yang memutuskan hubungan persaudaraan Islam maka tidak masuk mereka ke dalam syurga. Jika ada yang bermasam muka, pulihkan persengketaan yang berlaku. Bermaaf-maafanlah kita sesama umat Islam agar bersama-sama kita memperoleh ganjaran daripada Allah SWT. Tanganilah perbezaan pendapat sebaiknya dengan mengamalkan sikap berlapang dada.
Sumber:
https://smartmasjid.jais.gov.my/khutbah/content/kbase/2023/f1_1_1700710493.pdf
https://mymuslimin.com/2024/01/21/hadis-40-imam-nawawi-hadis-13-ukhuwah-islamiah/