Tidak dinafikan, di dalam setiap rumah orang Islam, akan terdapat senaskah Al-Quran. Ini kerana Al-Quran merupakan kitab suci kita dan memerlukan umat Islam untuk berpegang teguh kepadanya sebagai panduan sepanjang hidup. Namun, tidak semua menjadikan membaca Al-Quran sebagai amalan harian. Untuk mengelakkan anak-anak ralat daripada membaca Al-Quran, ibu bapa perlu mencari cara untuk mendidik anak-anak mereka membaca dan mencintai Al-Quran sejak dari kecil lagi. Di dalam penulisan kali ini, beberapa cara akan dikongsikan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka untuk membaca dan mencintai Al-Quran.

 

1. Menunjukkan contoh yang baik

Anak-anak mudah terpengaruh apabila mereka melihat dan memerhati sesuatu sama ada perbuatan tersebut baik mahupun buruk. Oleh itu, ibu bapa perlulah konsisten menunjukkan contoh yang baik dengan kerap membaca Al-Quran ketika berada di rumah. Mereka akan mengikuti perbuatan yang kemudiannya turut mengamalkannya. Sebagai contoh, selepas solat maghrib, ibu bapa perlu membaca Al-Quran bersama anak-anak agar mereka dapat menerapkan aktiviti ini sebagai rutin  mereka.

 

2. Mendedahkan anak dengan video surah-surah Al-Quran

Semakin bertambah zaman, semakin berkembang kemajuan teknologi. Ibu bapa perlu mengambil kesempatan ini dengan menggunakan gadget yang ada di rumah dengan menunjukkan video-video qari atau qariah kanak-kanak membaca Al-Quran daripada membiarkan mereka menonton perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Untuk kaedah yang lebih menarik, ibu bapa juga boleh memainkan kartun seperti Omar & Hana yang sering membaca ayat-ayat ringkas. Mereka akan menunjukkan minat untuk mencontohi amalan tersebut.

 

3. Menceritakan kisah dari Al-Quran

Terdapat pelbagai kisah tauladan dan sirah yang terkandung di dalam Al-Quran. Jadikan kisah dan sirah itu sebagai medium untuk menarik minat anak-anak dalam mempelajari Al-Quran secara lebih dalam. Selitkan juga surah-surah yang menceritakan tentang kisah dan sirah tersebut dalam bentuk penceritaan yang biasa dan ringkas agar mereka dapat memahaminya. Gunakan buku-buku yang berada di pasaran untuk lebih memudahkan mereka membaca ulang. Anak-anak akan berasa lebih berminat untuk membaca Al-Quran, mendengar kisah tauladan dan sirah yang lain setelah mengetahui makna ayat-ayat tersebut.

 

4. Mengajar membaca surah sebelum dan semasa tidur

Ajarkan anak-anak untuk membaca beberapa surah yang ringkas sebelum tidur dan beritahu mereka bahawa amalan tersebut merupakan sunnah Rasulullah SAW serta dapat melindungi diri sewaktu tidur daripada gangguan jin dan syaitan. Ketika anak-anak sedang tidur, pasangkan rakaman ayat Al-Quran untuk mereka dengar. Menurut sebuah kajian, ia dapat meningkatkan kemampuan memori seseorang kanak-kanak yang sedang tidur jika mendengarkan lagu dengan irama yang perlahan. Oleh itu, cuba untuk pasang bacaan surah yang ringkas dan jelas secara perlahan-lahan.

 

5. Memberi ganjaran

Setiap pencapaian berhak untuk memperoleh ganjaran begitu juga dengan anak-anak. Dapat membaca Al-Quran dengan lancar juga merupakan sebuah pencapaian untuk mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyediakan ganjaran untuk anak-anak mereka. Tidak perlu yang berbentuk material, ciuman, pujian serta mendoakan kejayaan anak-anak sahaja juga sudah cukup dalam menjadikan mereka lebih bersemangat untuk meneruskan amalan tersebut. Mereka akan rasa lebih dihargai atas usaha yang telah mereka lakukan.

 

Anak-anak ibarat sehelai kain putih yang bersih semasa dilahirkan dan menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam mencorakkan mereka untuk menjadi insan yang lebih baik. Bukan mudah untuk mendidik anak-anak namun tidak juga mustahil untuk membentuk mereka asalkan ibu bapa tetap konsisten dan menggunakan cara yang betul ketika mendidik mereka lebih-lebih lagi dalam aspek agama.

 

Sumber:

https://matan.edu.my/tips-didik-anak-cinta-al-quran/

https://www.haraki.my/tips-mendidik-anak-anak-baca-al-quran/

https://www.almukhlisin.my/8-tips-mendidik-anak-untuk-membaca-al-quran/

https://bidadari.my/ajar-anak-baca-alquran/#10_Ceritakan_Kisah_Dalam_AlQuran_Supaya_Anak_Makin_Faham_Isinya

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?