TIPS ISTIQOMAH MEMBACA AL-QURAN

 

Apakah itu istiqamah? Istiqomah adalah konsisten dalam melakukan sesuatu perkara. Banyak manfaat yang dapat diperoleh dengan membaca Al-Quran namun tak semua orang mampu istiqomah dalam mengamalkan membaca Al-Quran hari-hari atas dasar kekangan masa, sibuk, penat dan macam-macam alasan yang lain. Walaupun begitu, itu bukan alasan untuk seseorang itu terus meninggalkan amalan membaca Al-Quran dalam rutin harian mereka. Daripada Abu Umamah RA, Rasulullah SAW bersabda:

 

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

 

Maksudnya: “Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.”

(Riwayat Muslim)

 

Di dalam pembacaan kali ini, kami akan menyediakan beberapa tips yang boleh diikuti agar dapat mengekalkan membaca Al-Quran sebagai rutin harian.

 

1. Susun jadual

Kebanyakkan orang mempunyai komitmen dalam hidup mereka sebagai contoh kerja yang bertimbun menyebabkan mereka tiada masa untuk meluangkan masa untuk membaca Al-Quran. Jadi, untuk memastikan aktiviti membaca Al-Quran berada di dalam rutin harian dikala kesibukan kerja, kita boleh susun jadual dengan mencari waktu yang bersesuaian dengan masa kita. Kebiasaannya, waktu yang terbaik adalah sebelum atau selepas masuknya waktu solat. Sebagai contoh, selepas selesai solat maghrib dan sebelumnya masuknya waktu isyak.

 

2. Baca 1 hari 1 muka surat

Untuk permulaan, satu muka surat sehari sudah mencukupi. Tiada paksaan untuk membaca lebih dari satu muka surat untuk sehari. Bila semakin lancar, pembaca boleh menambah bilangan muka surat untuk dibaca mengikut kemampuan masing-masing. 

 

3. Baca Al-Quran dan terjemahan 

Baca dan fahami isi kandungan ayat Al-Quran itu penting untuk memastikan kita mampu beramal dengannya. Oleh itu, menggunakan tafsir Al-Quran amatlah berkesan untuk setiap orang. Sesetengah orang guna alasan tiada wudhu untuk memegang Al-Quran namun dengan adanya tafsir Al-Quran, alasan tersebut tidak lagi boleh digunakan untuk mengelak membaca Al-Quran.

 

4. Memanfaatkan media sosial

Rugi kalau memiliki telefon dan gajet yang canggih namun tidak menggunakannya dengan sebaiknya. Di zaman serba moden ni, terdapat pelbagai platform yang boleh digunakan untuk mengamalkan membaca Al-Quran. Sebagai contoh, Youtube boleh digunakan untuk mendengar sambil membaca Al-Quran. Selain itu, platform Facebook juga boleh digunakan dengan menyertai siaran langsung kelas mengaji yang dianjurkan oleh mana-mana pusat pengajian Al-Quran untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran di dalam kehidupan seharian. Dengan cara ini juga mampu membantu mencantikkan cara bacaan dan tajwid kita.

 

5. Tadarus bersama rakan

Tadarus Al-Quran iaitu membaca Al-Quran secara beramai-ramai juga dapat mengekalkan rutin membaca Al-Quran ini dalam kehidupan seharian. Aktiviti ini dapat membetulkan bacaan kita. Kadang-kadang, apabila membaca Al-Quran seorang diri, kita akan terlepas pandangan dengan kesilapan sendiri sama ada tajwid mahupun cara bacaan. Oleh itu, dengan adanya rakan-rakan di sekeliling, mereka dapat mengenal pasti silap dan membetulkan bacaan kita. Selain itu juga, mereka dapat mengingatkan kita bila tibanya waktu untuk membaca Al-Quran. Aktiviti ini boleh dilakukan sama secara bersemuka ataupun online bagi sesiapa yang menghadapi kekangan masa pada waktu tersebut.

 

 

6. Cari tempat belajar Al-Quran

Alasan tak pandai mengaji seharusnya dielakkan. Banyak pusat pengajian yang menawarkan pakej pengajian Al-Quran kepada sesiapa sahaja yang ingin membantu diri sendiri untuk lebih mahir membaca Al-Quran. Sebagaimana hadis daripada Uthman bin Affan RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ

 

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”.

(Riwayat Bukhari)

Tidak perlu tergesa-gesa untuk mengejar kesempurnaan, ambil masa untuk belajar. Kita tidak akan merasa terbeban dengan aktiviti ini jika kita mengambil masa dalam belajar Al-Quran. 

 

Tidak susah untuk menjadikan Al-Quran sebagai satu rutin harian namun untuk kekal konsisten memerlukan usaha yang lebih. Jadikan tips-tips yang diberikan ini sebagai usaha untuk menjadi Muslim yang lebih baik di dunia dan akhirat.

 

Sumber:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/1014-irsyad-al-hadith-siri-ke-163-kepentingan-mempelajari-al-quran

https://thevocket.com/istiqamah-baca-alquran-setiap-hari/

https://azdan.my/2023/06/06/ini-dia-5-cara-istiqamah-baca-al-quran/

https://beanahomequran.com/tips-mudah-untuk-istiqamah-baca-al-quran-setiap-hari/

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?