Islam Liberal merupakan “title” yang tidak asing lagi di telinga umat Islam terutama sekali di Malaysia. Pemikiran Islam Liberal membawa maksud cara pemikiran yang berupaya dalam membebaskan dan ‘meliberalkan umat Islam dari Islam yang satu, yang hakikatnya sudah sempurna dan merupakan sebuah agama yang adil dan indah. Cara pemikiran Islam liberal telah lama wujud di atas muka bumi sejak dahulu lagi. Dikenali sebagai golongan Ibahiyyun, golongan ini adalah golongan yang serba membolehkan apa sahaja hukum sama ada yang halal mereka menjadikannya haram dan perkara yang wajib ditukarkan kepada tidak wajib.

 

Berdasarkan pemikiran golongan ini sahaja sudah cukup untuk menentukan bahawa mereka adalah golongan yang sudah terang lagi bersuluh sesat dan boleh dikategorikan gugurnya iman mereka jika mereka bertegas untuk berpegang dengan perkara yang bercanggah dengan agama Islam itu sendiri. Tidak ada bezanya dengan golongan Islam Liberal yang menerap cara pemikiran yang sama, terdapat di antara perjuangan pemikiran ini yang kadang telah melanggar ijmak iaitu konsensus umat Islam. 

BAHAYA PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL – MENAFSIRKAN AGAMA MENGIKUT LOGIK AKAL DAN MEMAHAMI KEBEBASAN BERDASARKAN PEMIKIRAN BARAT YANG MENYESATKAN | Al-Haq Centre Malaysia

Antara contoh yang boleh dilihat adalah seperti hal asas di mana mereka melakukan cara penetapan hukum yang langsung tidak mengikut manhaj yang telah digariskan, iaitu manhaj Usul al-Fiqh, Ulum al-Hadis, Ulum al-Tafsir, Kalam dan lain-lain. Mereka juga mempunyai Modus Operandi yang mana tidak jauh dengan golongan ‘mazhab tidak bermazhab’ atau Allamazhabiyyah di mana mereka menjatuhkan kredibiliti serta autoriti yang dimiliki oleh ulama-ulama Islam terdahulu.

Golongan ini juga berani memperolokkan Imam Syafie dan ulama-ulama lainnya dengan mengatakan mereka sebagai ketinggalan zaman dan tidak relevan pada masa kini. Kitab Sahih Al-Bukhari juga dikatakan tidak sahih walhal kita berpegang teguh dengan mazhab Imam Syafie serta hadis-hadis beliau. Bagi mereka, hanya tokoh mereka sahaja yang benar dan tiada siapa boleh menandingi tokoh-tokoh mereka.

Golongan yang mempunyai pemikiran Islam Liberal ini dapat dikesan melalui ciri-ciri tersendiri antaranya melalui gerakan feminisme di mana mereka melakukan perjuangan dalam mempertahankan hak wanita walhal Islam menjunjung tinggi insan bernama wanita dalam menjaga kehormatan dan melindungi para wanita. Mereka juga berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalalkan LGBTQ atau hubungan songsang yang jelas sekali dilarang dan haram dilakukan di dalam Islam.

Yang lebih merisaukan lagi apabila mereka menganggap kitab-kitab fiqh ulama mazhab empat yang telah disusun oleh kaum lelaki mengandungi sifat patriarki dan kebanyakkan hukum lebih menyebelahi kaum lelaki. Sifat patriarki bermaksud sebuah sistem yang dipegang oleh tampuk kekuasaan dan dominan pentadbiran manakala wanita hanya memperoleh jawatan sebagai orang bawahan. Ia juga berkait rapat dengan perjuangan feminisme yang mereka lakukan bagi menuntut keadilan hak wanita-wanita.

Golongan pemikiran Islam Liberal ini juga melanggar hukum Islam dengan membenarkan wanita menjadi imam ketika solat berjemaah kepada lelaki. Terlalu banyak gambar mereka melakukan bidaah keji ini menunjukkan mereka tidak takut melakukannya secara terang-terangan.

Berdasarkan Fatwa yang telah diwartakan pada 2014, Liberalisme dan Pluralisme ini jelas dinyatakan sebagai sesat kerana jelas melanggar dan bercanggah dengan ajaran Islam serta akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Oleh itu, umat Islam seharusnya lebih mendalami agama Islam agar tidak terpesong dengan pemikiran Islam Liberal yang hanya berpandukan kepada akal dan logik dan dapat membezakan ajaran mana yang baik dan mana yang buruk. Jadikan sejarah umat terdahulu sebagai pengajaran di mana atas perbuatan mereka itu menyebabkan mereka ditimpa bala bencana dan musnah.

 

Sumber:

https://e-khutbah.jais.gov.my/wp-content/uploads/2024/06/2022_f1_1_1702016196.pdf

https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/3613-bayan-linnas-siri-ke-203-bahaya-serangan-pemikiran

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?