Akhlak yang berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘khuluqun’ yang membawa maksud budi atau sesuatu yang tersimpan di dalam hati dan tidak diketahui oleh orang lain namun ianya memiliki kekuatan yang amat besar terhadap tingkah laku manusia. Akhlak dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu akhlak mahmudah yang bererti terpuji dan akhlak mazmumah yang bererti tercela.

 

Bersesuaian dengan tajuk utama di dalam penulisan kali ini, akhlak atau sifat mazmumah yang perlu untuk setiap manusia hindari akan dibincangkan. Sifat mazmumah ini kebiasaannya bercanggah dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah atau dalam kata mudah perbuatan negatif yang mampu memberi mudarat kepada diri sendiri dan juga orang di sekeliling kita. Antara sifat-sifat mazmumah adalah mempersekutukan Allah SWT, berbohong, takbur, dengki dan iri hati, khianat-mengkhianati, bakhil dan marah.

JAUHILAH SIFAT BURUK SANGKA SESAMA MUSLIM KERANA IA ADALAH SIFAT MAZMUMAH (TERCELA) YANG DIBENCI ALLAH SWT | Al-Haq Centre Malaysia

Antara sifat mazmumah yang perlu dijauhi adalah dengki dan iri hati. Apabila seseorang itu memiliki sifat dengki ini, mereka akan mudah merasa tidak puas hati apabila melihat kejayaan seseorang. Mereka beranggapan tiada seorang pun yang boleh melebihi mereka dan berharap agar nikmat yang dimiliki oleh orang lain hilang dan hanya mereka yang layak memilikinya. Sifat seperti sama seperti membangkang Allah SWT kerana mengurniakan nikmat atau rezeki tersebut kepada orang lain. Untuk mengelakkan diri dari memiliki sifat dengki, hendaklah sentiasa mengucapkan syukur dan puji kepada Allah SWT di atas segala kurniaan yang diberikan.

 

Bagi sifat marah yang juga tergolong di dalam sifat mazmumah kebiasaannya berpunca daripada kurangnya sabar dalam diri seseorang di mana ketika itu syaitan turut mengambil peluang untuk menghasut dan menambahkan lagi bara kemarahan. Seseorang yang memiliki sifat marah ini selalunya akan turut mewarisi beberapa sifat mazmumah yang lain seperti sombong, bongkak dan juga tidak boleh ditegur. Namun, perasaan marah ini tidak dilarang dalam Islam asalkan kena pada tempatnya dan tidak melampiaskan kemarahan tersebut membuta tuli. Rasulullah SAW melarang umatnya untuk menggunakan kemarahan mereka dengan menimbulkan kekecohan untuk menang.

 

Sifat fitnah atau dalam kata lainnya menyampaikan sesuatu berita yang tidak benar dan berniat untuk memutuskan hubungan silaturahim antara dua belah pihak dengan melagakan kedua-dua pihak tersebut. Perbuatan ini amat tidak disukai dalam Islam. Ia dianggap fasik dan tidak diterima persaksiannya. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 6:

 

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ

 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

(Surah Al-Hujurat: 6)

 

Mengata seseorang di belakang mereka atau mengumpat juga merupakan sifat mazmumah. Kelakuan, keadaan tubuh badan, perangai dan lain-lain adalah antara perkara yang akan diperkatakan oleh seseorang. Perlakuan ini diharamkan di dalam Islam dan ianya tergolong di dalam dosa-dosa besar.

 

Sifat yang terakhir adalah sifat sombong dengan keadaan di mana seseorang itu akan membesarkan diri mereka dan menganggap diri mereka lebih mulia dan memandang orang lain lebih hina dan tidak setaraf dengan mereka. Sifat takbur ini hendaklah dielakkan kerana mampu mendatangkan kebencian Allah SWT terhadap kita. Bagi menjauhkan diri dari sifat takbur ini, sentiasalah mengamalkan sifat tawaduk dan selalu merendah diri ketika bergaul dengan sesiapa sahaja.

 

Oleh itu, sebagai seorang umat Islam, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk meninggalkan segala sifat mazmumah yang mampu mendatangkan kemudaratan bukan sahaja kepada diri kita malah kepada sesiapa sahaja dan berusaha mengamalkan segala sifat mahmudah agar hidup sentiasa diberkati dan di bawah lindungan Allah SWT.

 

Sumber:

https://e-khutbah.jais.gov.my/wp-content/uploads/2024/06/2022_f1_1_1702022078.pdf

https://www.facebook.com/notes/3951923798169726/?paipv=0&eav=AfafH40UCYeC-411vDUIPfrwH79XSyoZQSaMN69Vpmlki9aAS2qF7z3GWnyHZgbQ2OY

 

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?