Ibadah Haji merupakan satu kewajipan yang telah ditentukan oleh Allah SWT ke atas setiap umat Islam yang berkemampuan. Oleh kerana ianya diletakkan di dalam Rukun Islam, kewajipannya sama seperti mengerjakan solat, puasa dan zakat. Namun, perbezaan ibadah Haji ialah ianya wajib ditunaikan sekali seumur hidup berbanding dengan rukun Islam yang lain. Perintah menunaikan ibadah Haji ini termaktub dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT dalam Surah ali Imran, ayat 97:
فِيْهِ اٰيٰتٌۢ بَيِّنٰتٌ مَّقَامُ اِبْرٰهِيْمَ ەۚ وَمَنْ دَخَلَهٗ كَانَ اٰمِنًا ۗ وَلِلّٰهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ اِلَيْهِ سَبِيْلًا ۗ وَمَنْ كَفَرَ فَاِنَّ اللّٰهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعٰلَمِيْنَ
Maksudnya: “Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk”
(Surah ali Imran: 97)
Sesungguhnya dalam ibadah Haji tersirat beberapa falsafah besar yang wajib dihayati dalam kehidupan harian umat Islam. Antaranya ialah:
1. Ikrar ketauhidan kepada Allah SWT
Pada bulan Zulhijjah, seluruh umat Islam dari serata negara dengan matlamat yang sama akan berkumpul di Kota Mekah dengan berbekalkan jiwa yang tunduk patuh kepada Allah SWT. Segala hal berkaitan duniawi ditinggalkan demi memenuhi tuntutan rukun Islam tersebut. Syiar akan sentiasa dilontarkan dengan penuh semangat sepanjang ibadah Haji.
“Ya Allah, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kerajaan adalah milik kepunyaan-Mu dan tiada ada sekutu bagi-Mu.”
Ucapan ini merupakan ikrar yang senantiasa bernaung di Kota Mekah Al-Mukarramah dan merupakan ikrar menyatakan ketauhidan mengesakan Allah SWT dan mengakui pengabdian diri kita sepenuhnya kepada Allah SWT.
2. Menyemai roh pengorbanan yang suci
Ibadah Haji memerlukan pengorbanan. Harta, tenaga dan masa perlu dikorbankan bagi menjalankan ibadah Haji. Keselesaan hidup, ketinggian pangkat, keegoan diri dan keseronokan dunia terpaksa dilupakan. Namun, tidak semua orang sanggup mengorbankan semua perkara sepenuhnya. Hanya orang yang betul-betul beriman kepada Allah SWT sahaja sanggup demi menyambut seruan Ilahi ke Tanah Suci. Orang-orang yang rela berkorban akan terbentuk sebuah erti dan semangat pengorbanan di dalam jiwa mereka dalam melakukan perkara yang diredhai Allah SWT. Semua perkara yang perlu mereka korbankan akan mendatangkan kebaikan serta keberkatan di dalam hidup mereka. Di dalam Surah Saba’, Allah berfirman:
قُلْ اِنَّ رَبِّيْ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَّشَاۤءُ مِنْ عِبَادِهٖ وَيَقْدِرُ لَهٗ ۗوَمَآ اَنْفَقْتُمْ مِّنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهٗ ۚوَهُوَ خَيْرُ الرّٰزِقِيْنَ
Maksudnya: “Sungguh, Tuhanku melapangkan rezeki dan membatasinya bagi siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dan apa-apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.”
(Surah Saba’: 39)
3. Lambang kesatuan ummah
Apabila tibanya musim Haji, hampir seluruh umat Islam akan berkumpul di Tanah Suci Mekah dari setiap pelusuk negara, budaya dan bangsa yang berbilang, tidak kira miskin atau yang kaya, Allah SWT akan mengizinkan mereka menjadi tetamuNya pada hari tersebut bagi melaksanakan tuntutan Haji. Melakukan wuquf, tawaf dan sa’i di tempat yang sama menunjukkan penyatuan ummah dalam menjalankan perintah Allah SWT. Segala perbezaan bukanlah kayu ukur ketakwaan kita di sisi Allah SWT namun orang yang memiliki ketakwaan yang lebih merupakan insan yang mulia di sisi Allah SWT. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Hujurat:
يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ اِنَّا خَلَقْنٰكُمْ مِّنْ ذَكَرٍ وَّاُنْثٰى وَجَعَلْنٰكُمْ شُعُوْبًا وَّقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوْا ۚ اِنَّ اَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللّٰهِ اَتْقٰىكُمْ ۗاِنَّ اللّٰهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ
Maksudnya: “Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Mahateliti.”
(Surah al-Hujurat: 13)
Ibadah Haji adalah lebih daripada sekadar ritual keagamaan; ia adalah manifestasi ketauhidan, pengorbanan, dan kesatuan ummah. Melalui ibadah ini, umat Islam mengikrarkan ketaatan kepada Allah SWT, menyemai semangat pengorbanan yang ikhlas, dan memperkuat perpaduan ummah di kalangan Muslim. Dengan memahami dan menghayati falsafah di sebalik ibadah Haji, kita dapat menghargai lebih mendalam makna kemerdekaan rohani dan kekuatan kebersamaan dalam Islam. Semoga setiap umat Islam yang berkemampuan dapat menunaikan ibadah Haji dan merasakan keberkatan yang terkandung di dalamnya.
Sumber: