Guru ibarat lilin yang membakar dirinya bagi menerangi orang lain. Guru memainkan peranan yang besar di dalam kehidupan setiap manusia. Ilmu yang dicurahkan oleh guru amatlah berguna dalam membantu murid-murid menjadi insan yang berguna dan seterusnya membentuk generasi rabbani. Apa yang dimaksudkan dengan generasi rabbani ialah masyarakat dan murid-murid yang dididik pada hari ini dengan ilmu fardu ain yang berasaskan akidah, syariah dan akhlak yang dapat menyelamatkan daripada kemurkaan Allah SWT hasil dari didikan seorang guru yang mengamalkan ilmu yang disampaikan mereka.
Profesyen guru merupakan pekerjaan yang dipandang tinggi oleh masyarakat setempat. Ramai anak-anak menjadikan guru sebagai cita-cita mereka. Justeru Allah SWT telah menjanjikan satu kedudukan atau martabat yang tinggi kepada para guru yang telah dikurniakan ilmu pengetahuan, sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11:
وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُواْ فَٱنشُزُواْ يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ
Maksudnya: “…Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat; dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Mujadalah: 11)
Guru seharusnya mengamalkan etika profesyen keguruan iaitu mampu beriman, berilmu, beramal serta mendidik. Seorang guru merupakan insan profesional yang bertanggungjawab dalam mendidik serta mengajar anak-anak didik dengan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki, sama ada secara formal mahupun secara tidak formal. Maka dengan peranan yang sangat mulia ini, anak bangsa hari ini atau generasi akan datang boleh dibentuk menjadi sebuah masyarakat madani yang menepati acuan Islam.
Namun begitu, dalam masa untuk membentuk generasi rabbani, guru-guru juga perlu memiliki kualiti yang tertentu agar matlamat dapat dicapai. Antara sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh seseorang dalam mengubah diri menjadi guru yang berkualiti adalah:
1. Memiliki sifat zuhud: Sifat zuhud merupakan satu sifat yang tidak mementingkan penghargaan diri, penghormatan atau balasan namun sifat ini membenarkan mereka yang memilikinya tetap ikhlas dalam mengharapkan redha daripada Allah SWT.
2. Tazkiah an-Nafs: Mempunyai jiwa yang bersih dan murni, bersih daripada segala bentuk penyelewengan akidah, syariat dan akhlak serta adat. Memiliki keperibadian yang tinggi, tidak angkuh, riak, ujub dan segala bentuk sifat mazmumah yang tercela.
3. Mempunyai kehebatan dan kehormatan: Sentiasa merendah diri, mampu bergaul dan menangani murid serta memiliki sifat keibubapaan yang penyayang.
4. Kompeten: Memiliki kecekapan merupakan tunjang utama kepada pencapaian akademik murid. Jadikan ilmu fardu ain iaitu akidah, syariah dan akhlak sebagai teras dan keutamaan kerana ia dapat menyelamatkan dirinya dan anak didiknya daripada api neraka.
Ilmu amatlah penting untuk setiap umat Islam. Dengan adanya guru yang menyampaikan ilmu kepada masyarakat, ummah dapat diselamatkan daripada terjerumus di dalam api neraka. Guru juga seharusnya sentiasa ikhlas dalam menyampaikan ilmu yang mereka miliki tanpa perlu mengungkit jasa-jasa mereka kepada insan yang menerima ilmu. Mereka hendaklah yakin dengan jasa yang telah mereka taburkan mampu memberi mereka pahala yang berterusan di mana selagi ilmu yang diberikan disebar secara berterusan, pahala akan sentiasa mengalir meskipun selepas kematian.
Sumber:
https://mt961013.livejournal.com/1526176.html
https://ikram.org.my/guru-rahmah-pemangkin-generasi-rabbani/