Hampir 67 tahun negara kita mengecap kemerdekaan. Pada tarikh 31 Ogos 1957, segala perjuangan dan pengorbanan nenek moyang kita akhirnya membuahkan hasil dan membebaskan negara kita daripada cengkaman penjajah. Saban tahun, hari kemerdekaan disambut bagi menghargai serta memperingati tokoh-tokoh yang berusaha dalam mencapai kebebasan. Seiring dengan arus masa, pemikiran dan tingkah laku juga seharusnya sejajar dengan merdeka yang telah kita kecapi namun nampaknya kita masih terbelenggu di bawah takuk yang sama tidak kira dari segi tingkah laku mahupun pemikiran. Benarkah kita faham sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan?

 

Kemerdekaan bermaksud kebebasan daripada segala jajahan. Dari sudut pandang Islam, merdeka membawa erti membebaskan diri daripada menjadi hamba sesama makhluk kepada menjadi hamba kepada Tuhan yang berkuasa ke atas seluruh alam. Dengan hanya melaungkan merdeka tidak menjadikan jiwa kita sepenuhnya merdeka. Laungan hanyalah sekadar laungan yang meraikan kejayaan dan tidak lebih daripada itu. 

 

Namun begitu, sebagai umat Islam tiada istilah kebebasan mutlak kerana kita akan sentiasa terikat dengan panduan hidup kita iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Sebagai seorang insan yang benar-benar mengecap kemerdekaan, mereka seharusnya berani berkata benar walaupun pelbagai akibat yang bakal muncul, tidak gentar dengan segala ancaman dan cabaran daripada pihak musuh serta tidak memperhambakan diri kepada manusia. Jikalau hanya sekadar berkata-kata, itu jelas membuktikan kita masih tidak merdeka sepenuhnya dan sentiasa di bawah takuk yang lama. Kemuliaan jiwa seseorang yang merdeka datang daripada agama Islam yang suci dan bersih. 

 

Oleh itu, penghayatan erti sebenar kemerdekaan perlu diterapkan di dalam diri setiap manusia terutama sekali generasi muda sekarang. Tujuan utama penerapan ini agar semangat patriotisme cinta akan tanah air dapat dinaikkan di dalam diri kita. Bukan itu sahaja, apabila perasaan cinta terhadap negara sendiri sudah tertanam, menghargai jasa serta pengorbanan yang pernah ditaburkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan akan lebih mendalam kerana tanpa mereka, kita mungkin akan masih dijajah sehingga ke hari ini. 

 

Wujudnya kemerdekaan ini sekaligus menjadikan rakyat sentiasa hidup bersatu dalam keadaan yang harmoni. Kemerdekaan memberikan peluang kepada setiap individu untuk merasai keadilan, kebebasan, dan kesamarataan tanpa rasa takut atau tertindas. Ia membolehkan pelbagai etnik, agama, dan budaya bersatu padu di bawah satu bendera, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain. Melalui kemerdekaan, kita belajar untuk menghargai perbezaan dan mencari kekuatan dalam kepelbagaian.

Kemerdekaan adalah satu nikmat yang harus disyukuri. Dalam Islam, syukur tidak hanya diungkapkan melalui kata-kata tetapi juga melalui tindakan. Umat Islam harus menunjukkan kesyukuran dengan menjaga nikmat kemerdekaan ini, memastikan keamanan dan kesejahteraan terpelihara, serta terus berusaha memperbaiki diri dan masyarakat.

 

Memaknai erti sebuah kemerdekaan adalah satu usaha yang berterusan. Ia melibatkan memahami sejarah, menghargai identiti nasional, mengenang pengorbanan, dan berusaha untuk masa depan yang lebih cerah. Kemerdekaan bukan sekadar bebas dari penjajahan fizikal, tetapi juga melibatkan kebebasan untuk melaksanakan amanah Allah di muka bumi dengan penuh ketaatan. Kemerdekaan yang sejati adalah apabila umat Islam dapat hidup berlandaskan syariat, membangun masyarakat yang adil dan sejahtera, serta menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah dengan penuh kesyukuran.

 

Sumber:

https://ikram.org.my/merdeka-makna-sebenar-sebuah-kebebasan/

https://malaysiagazette.com/2023/08/22/erti-sebuah-kemerdekaan/

https://www.ikim.gov.my/index.php/2013/08/29/menghayati-kemerdekaan-dalam-erti-kata-sebenar/

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?