Waqaf merupakan salah satu ibadah yang digalakkan di dalam Islam. Waqaf merupakan satu amalan di mana kita menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan orang ramai. Amazon ini dilakukan sebagai proses dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sekali gus membantu manusia memperoleh keredhaan dari-Nya. Menurut firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 272:
…وَمَا تُنفِقُواْ مِنۡ خَيۡرٖ فَلِأَنفُسِكُمۡۚ وَمَا تُنفِقُونَ إِلَّا ٱبۡتِغَآءَ وَجۡهِ ٱللَّهِۚ …
Maksudnya: “Dan apa jua harta yang kamu infakkan (pada jalan Allah) maka (faedah dan palanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah menginfakkan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah SWT.”
(Surah Al-Baqarah: 272)
Jika kita mengikuti kembali sirah Rasulullah SAW, ibadah waqaf antara ibadah terawal yang diterapkan. Sebagai contoh, peristiwa pembelian petigi Rummah di kota Madinah dan telah diwaqafkan oleh Saidina Uthman bin Affan. Pada zaman dahulu, ibadah waqaf bukan sahaja sebagai waqaf malah menjadi salah satu faktor dalam pembinaan tamadun. Hal ini kerana, dengan wujudnya waqaf ini, ianya dapat membantu dalam penyediaan kemudahan infrastruktur yang meliputi kemudahan awam seperti pendidikan, kesihatan dan pelbagai bentuk kemudahan dari segi kebajikan.
Ibadah waqaf moden telah dipraktikkan ketika zaman pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyyah dimana waqaf tunai telah berjaya membantu kerajaan dalam meringankan beban yang ditanggung dengan membina kemudahan untuk masyarakat dengan menggunakan waqaf tunai tersebut. Ini menunjukkan betapa besarnya peranan waqaf itu sendiri sehingga mampu membantu sesebuah kerajaan dari segi kemudahan awam. Ini kerana mereka tidak hanya menganggap waqaf sebagai ibadah malah telah menjadi sebuah budaya dalam kehidupan mereka.
Ibadah waqaf dapat mendekatkan seseorang itu dengan Allah SWT. Maka, ianya antara amalan yang dituntut dilakukan oleh umat Islam. Oleh kerana ianya antara amalan yang dituntut, Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang besar dan akan senantiasa mengalir meskipun sang pemberi meninggal dunia. Seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim menerusi Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Apabila telah mati seorang manusia, maka terputuslah baginya pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”
Harta yang telah diwaqafkan tidak boleh dituntut kembali atau diambil semula kerana ianya adalah milik Allah SWT selama-lamanya. Tujuan berwaqaf sepatutnya kerana Allah dan bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk. Jika seseorang itu berniat mahu mengambil kembali harta yang diwaqafkan hukumnya adalah haram. Ia merupakan sikap yang buruk yang ditonjolkan oleh seorang Muslim dan dikategorikan sebagai tamak. Hadis daripada Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Umar Al-Khattab yang bermaksud:
“Jika engkau suka, tahanlah (iaitu wakaflah) tanah itu, dan engkau sedekahkan manfaatnya. Maka Umar pon menyedekahkan manfaatnya dengan syarat tanah itu tidak akan dijual, tidak akan dihibahkan dan tidak akan diwariskan.”
(Riwayat Imam Muslim)
Pelbagai hikmah yang dapat diperoleh daripada amalan berwaqaf ini antaranya adalah dapat menzahirkan pengabdian diri kepada Allah SWT, sebagai langkah dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT, menjamin kebajikan yang berkekalan walaupun setelah meninggal dunia, mengukuhkan perpaduan serta ekonomi ummah dan dapat berkongsi manfaat dalam kalangan umat Islam melalui harta yang diwaqafkan. Oleh itu, marilah bersama-sama melakukan ibadah waqaf. Mungkin bagi sesetengah orang, waqaf tidak mendatangkan impak yang besar namun ada segelintir yang bersyukur dengan harta yang telah diwaqafkan di mana mungkin ianya telah sedikit sebanyak membantu mereka dalam meneruskan kehidupan mereka.
Sumber:
https://www.upm.edu.my/artikel/wakaf_ibadah_yang_mendekatkan_diri_pada_allah-61045