Pelbagai perisitwa di dalam Islam yang tercatat dan membawa maknanya yang banyak pada setiap umat Islam. Bulan Rejab merupakan antara bulan berlakunya pelbagai peristiwa. Antaranya adalah peristiwa penghijrahan pertama umat Islam dari Makkah ke wilayah Habsyah dan juga pembebasan kembali Baitul Maqdis oleh tentera Salahuddin Al-Ayubi. Namun satu persitiwa yang penting yang telah menjadi kewajiban untuk setiap umat Islam adalah berlakunya Peristiwa Israk Mikraj di mana Nabi Muhammad SAW menerima perintah secara langsung daripada Allah SWT bagi ibadah solat fardhu.
Dari segi bahasa, Israk membawa maksud menjalankan seseorang pada waktu malam manakala Mikraj pula bererti laluan ke atas atau tangga yang dilalui oleh Baginda dari Baitulmaqdis ke langit pertama dan langit-langit yang seterusnya. Manakala dari segi istilah pula Israk bererti perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan Mikraj bermaksud perjalanan dari bumi ke Sidratul Muntaha. Seperti yang disebut di dalam Surah Al-Isra’ ayat 1:
سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلٗا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِي بَٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنۡ ءَايَٰتِنَآۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ
Maksudnya: “Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Al-Haram (di Makkah) ke Masjidil Al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah Al-Isra’: 1)
Baginda Rasulullah SAW diuji dengan pelbagai dugaan sebelum berlakunya peristiwa Israk Mikraj. Kehilangan isteri tercinta, Khadijah Khuwailid, dan juga bapa saudara yang banyak membantu Rasulullah SAW, Abu Talib. Pada tahun yang sama juga, Rasulullah SAW telah ditindas oleh kaum Quraisy. Tahun tersebut dikenali sebagai ‘Aam Al-Huzn’ atau Tahun Dukacita untuk Baginda Rasulullah SAW. Bagi merawat kedukaan Rasulullah SAW, Allah SWT menghadiahkan peristiwa sebagai ‘tasliyah’ atau hiburan kepada Baginda.
Peristiwa Israk Mikraj ini juga telah menguji keimanan orang-orang yang beriman dengan Nabi Muhammad SAW. Segala perkara yang terjadi sepanjang Israk Mikraj amatlah mustahil untuk dilakukan semalaman oleh mata kasar serta melibatkan perkara-perkara ghaib. Namun begitu, kekuasaan Allah tiada yang mustahil seperti yang disebut di dalam Surah Al-Isra’ ayat 60:
وَإِذۡ قُلۡنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِٱلنَّاسِۚ وَمَا جَعَلۡنَا ٱلرُّءۡيَا ٱلَّتِيٓ أَرَيۡنَٰكَ إِلَّا فِتۡنَةٗ لِّلنَّاسِ وَٱلشَّجَرَةَ ٱلۡمَلۡعُونَةَ فِي ٱلۡقُرۡءَانِۚ وَنُخَوِّفُهُمۡ فَمَا يَزِيدُهُمۡ إِلَّا طُغۡيَٰنٗا كَبِيرٗا
Maksudnya: “Dan tiadalah kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan demikian juga kami jadikan pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan kami beri mereka takut (yakni dengan pelbagai amaran), maka semua itu tidak menambahkan keimanan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.”
(Surah Al-Isra’: 60)
Menelusuri peristiwa Israk dan Mikraj ini, terdapat 3 peristiwa penting yang dapat dijadikan sebagai penanda aras terhadap keimanan seseorang. Antaranya adalah kewajipan solat 5 waktu. Oleh kerana solat fardhu diturunkan secara langsung daripada Allah kepada Nabi Muhammad SAW, ia menunjukkan keistimewaan ibadah ini berbanding ibadah-ibadah yang lain. Maka ianya dijadikan sebagai tiang agama dan merupakan ibadah yang paling mulia pernah diturunkan.
Seterusnya, penghormatan Allah kepada Rasulullah SAW. Sebagai tanda kasih Allah SWT kepada Rasulullah SAW, perjalanan yang penuh ketakjuban telah dijalankan bagi menggantikan kesedihan yang ditanggung oleh Rasulullah SAW sepanjang menempuh ujian Baginda. Akhir sekali adalah diperlihatkan setiap balasan perbuatan manusia di dunia. Rasulullah SAW diberikan gambaran oleh malaikat Jibril secara menyeluruh perihal manusia di muka bumi sepanjang hidup mereka dan balasan yang akan diterima akan diadili berdasarkan amalan yang telah dilakukan sepanjang hidup mereka.
Sebagai umat Islam, peristiwa ini amatlah bermakna dan bukan hanya dongeng yang direka semata-mata. Mungkin kelihatan amatlah mustahil namun berdasarkan sifat Allah SWT, tiada perkara yang mustahil di atas muka bumi ini. Marilah mengambil iktibar dan pelajaran berdasarkan peristiwa Israk dan Mikraj dan mendorong kita menjadi hamba-Nya yang lebih bertakwa.
Sumber:
https://www.hmetro.com.my/addin/2023/02/936529/enam-pengajaran-hikmah-zahir-keistimewaan-islam