Mati merupakan sebuah pengakhiran hidup setiap manusia di dunia dan juga penanda sebagai sebuah permulaan hidup di akhirat. Mati juga merupakan proses perpindahan roh setiap manusia ke alam barzakh dan juga alam baqa’. Tidak kira sesiapa pun, setiap bernyawa pasti akan merasai mati. Segala pangkat, jawatan dan harta tidak dapat menyelamatkan seseorang itu daripada menghadapi kematian. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 185:
كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلۡغُرُورِ
Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamta sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka akan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
(Surah Ali-Imran: 185)
Hikmah kematian ini tidak hanya terletak pada si mati namun juga pada yang masih hidup. Daripada setiap kematian, kita dapat melihat dan mengambil iktibar daripada si mati sama ada yang baik mahupun yang bruruk, ianya juga dapat memberi keinsafan kepada kita yang bahawa tiada sesiapa yang terkecuali daripada kematian. Ia juga membuatkan kita merenung kembali amalan-amalan yang telah dilakukan dan bermuhasabah bahawa lebih banyak usaha diperlukan bagi mencapai Syurga Allah SWT. Akhir sekali, persiapan sebelum menghadapi kematian juga amat diperlukan kerana sejurus selepas meninggal, hampir semua amalan kita terputus.
Oleh sebab itu, umat Islam digalakkan untuk menziarahi orang yang sedang sakit, orang yang tengah nazak dan terlibat dalam pengurusan jenazah supaya untuk memberikan keinsafan yang lebih. Mengingati mati mempunyai beberapa faedah antaranya adalah sebahagian daripada ibadah, dapat menjauhkan diri daripada melakukan kezaliman dan dapat mempersiapkan diri menghadapi kematian dan kehidupan selepas mati.
Ajal tidak hanya menunggu sehingga seseorang itu menjadi tua. Ianya datang tidak mengira waktu, keadaan dan juga usia. Maka, usaha dalam membentuk diri menjadi umat Islam yang beriman serta bertaqwa kepada Allah SWT bagi menjamin kematian yang khusnul khotimah, iaitu mati dalam keadaan yang baik dan beriman, diberi kesempatan bertaubat, mendapat rahmat ketika kematian, keampunan selepas kematian, mendapat kebahagian di akhirat dan terlepas azab siksa api neraka.
Sumber:
https://jheains.sabah.gov.my/sites/default/files/uploads/khutbah/2023-06/khutbah-250222.pdf
https://muftiperlis.gov.my/index.php/coretan-isnad/581-kelebihan-mengingati-mati