Al-Quran merupakan mukjizat yang terbesar yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan hidup untuk umat manusia. Sering disebut Nuzul Al-Quran yang membawa maksud turun atau berpindah, iaitu berpindah dari atas ke bawah. Terdapat pelbagai perbezaan pendapat bila sebenarnya Al-Quran ini diturunkan namun seperti diketahui umum, kita meraikan Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadhan bersamaan dengan 6 Ogos 610 Masihi. Perkara ini telah dijelaskan oleh Ibn Kathir dengan menukilkan riwayat Abu Jaafar al-Baqi[4]:

 

كَانَ ابْتِدَاءُ الْوَحْيِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلَّم يوم الِاثْنَيْنِ، لِسَبْعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

 

Maksudnya: “Permulaan wahyu bagi Rasulullah SAW pada hari Isnin bersamaan malam 17 dari bulan Ramadan.”

 

Namun begitu, Al-Quran tidak diturunkan sekaligus seperti apa yang kita lihat pada hari ini. Ianya diturunkan secara berperingkat di mana ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah 5 ayat pertama surah Al-Alaq.

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” 

(Surah Al-‘Alaq: 1-5)

Terdapat 3 peringkat iaitu penurunan Al-Quran dari Allah SWT ke Luh Al-Mahfuz, dari Luh-Mahfuz ke Bait al-Izzah di langit dunia dan dari Bait al-Izzah kepada Rasulullah SAW.

 

1. Dari Allah SWT ke Luh AL-Mahfuz

Penurunan Al-Quran dari Allah ke Luh Al-Mahfuz dilakukan secara sekaligus di mana ianya menunjukkan betapa besar dan tingginya kekuasaan Allah SWT. Ia juga menandakan kemuliaan Al-Quran itu sendiri kerana Luh Mahfuz merupakan semulia-mulia tempat di sisi Allah SWT di mana ia adalah tempat bagi segala perancangan yang wujud di alam ini.

 

2. Dari Luh Al-Mahfuz ke Bait al-Izzah

Sama seperti peringkat pertama, peringkat ini juga diturunkan sekaligus ke Bait al-Izzah atau langit dunia pada malam Lailatul Qadar. Peringkat ini dipercayai berlaku dengan berpandukan 3 ayat Al-Quran sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas; 

 

  • Allah SWT berfirman, dalam Al-Baqarah, ayat 185:

 

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (١٨٥)

 

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak Hari yang ditinggalkan itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”

(Surah Al-Baqarah: 185)

 

  • Firman Allah SWT, dalam Ad-Dukhan, ayat 3:

 

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ

 

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”

(Surah Ad-Dukhan: 3)

 

  • Firman Allah SWT dalam Al-Qadr, ayat 1:

 

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

 

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”

(Surah Al-Qadr: 1)

3. Dari Bait al-Izzah kepada Rasulullah SAW

Pada peringkat ketiga, Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun di mana 13 tahun masa yang diambil di Mekah dan 10 tahun di Madinah al-Munawwarah sebagai wahyu kepada Rasulullah SAW yang dimulakan dengan 5 ayat pertama Surah Al-Alaq melalui perantaraan oleh Malaikat Jibril. 

 

Wahyu tidak hanya disampaikan melalui satu cara sahaja. Pelbagai cara penerimaan wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah antaranya ialah:

 

  • Menerusi mimpi yang benar

Rasulullah tidak melihat secara mata kasar namun dapat dirasakan di dalam hatinya oleh kerana Malaikat hanya memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Baginda pernah bersabda: “Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahwa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezekinya yang telah ditetapkan oleh Allah.”

 

  • Malaikat menampakkan dirinya

Malaikat akan menyerupai seorang lelaki di hadapan Nabi Muhammad SAW dan menyampaikan secara lisan sehingga baginda mengetahui dan hafal kata-kata tersebut.

 

  • Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng

Cara ini merupakan cara yang amat berat yang dirasai Rasulullah kerana kening baginda akan berpeluh walaupun ketika cuaca dingin dan ada waktu unta baginda akan berhenti kerana beban yang terlalu berat ketika wahyu diterima. 

 

  • Malaikat menampakkan dirinya dalam rupa yang sebenar

Malaikat akan memperlihatkan dirinya yang sebenar di hadapan Nabi Muhammad SAW seperti yang tertulis di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 :

 

(١٤) وَلَقَدْ رَاٰهُ نَزْلَةً اُخْرٰىۙ (١٣) عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهٰى

 

Maksudnya: “Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha”

(Surah An-Najm: 13-14)

 

Al-Quran diturunkan untuk umat manusia sebagai petunjuk dan hidayah untuk mereka berubah menjadi insan yang lebih baik. Segala isi kandungan di dalam Al-Quran akan kekal relevan untuk digunakan sepanjang zaman. Oleh itu, marilah kita bersama jadikan Al-Quran sebagai amalan agar kekal di jalan yang benar untuk meraih syurgaNya.

 

Sumber:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-ramadhan/5588-irsyad-fatwa-edisi-khas-ramadhan-siri-ke-228-persoalan-al-quran-diturunkan-pada-malam-nuzul-al-quran-atau-malam-lailatulqadar

https://pengajianalhira.com/sejarah-peristiwa-penurunan-al-quran

https://www.slideshare.net/nooraziahmamat_7711/peringkat-penurunan-alquran

 

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?