Jikalau membaca Al-Quran sahaja sudah mampu memperoleh kebaikan yang banyak, menghafal Al-Quran juga mampu memberi kelebihan yang berganda yang telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada orang yang menghafal ayat-ayat kitab suci tersebut. Iblis juga amat gerun terhadap orang yang mampu menghafal 30 juzuk Al-Quran kerana ia dapat dijadikan sebagai senjata paling kuat dalam melawan golongan tersebut. Antara kelebihan yang dapat diperoleh ialah:

 

1. Ditempatkan di syurga paling tinggi

Rasulullah SAW dan Abdullah Bin Amru Bin Al-Ash r.a. bersabda dari Nabi, beliau bersabda:

 

“Di akhirat nanti para ahli Al Quran diperintahkan, “Bacalah dan naiklah ke syurga. Dan bacalah Al Quran dengan tartil seperti engkau membacanya dengan tartil pada waktu di dunia. Tempat tinggal mu di syurga berdasarkan ayat paling akhir yang engkau baca.”

 

Selain itu, daripada Aisyah r.h.a., Rasulullah SAW pernah bersabda: 

 

“Jumlah tingkatan-tingkatan syurga sama dengan jumlah ayat-ayat Al-Quran. Maka tingkatan syurga yang dimasuki oleh penghafal Al-Quran ialah tingkat paling atas, tidak ada tingkat lagi sesudah itu.”

(Riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim)

 

2. Hati penghafal Al-Quran tidak diseksa

Rasulullah SAW dan Abdullah Bin Mas’ud RA pernah bersabda:

 

“Bacalah Al-Quran kerana Allah tidak akan menyeksa hati orang yang hafal Al-Quran. Sesungguhnya Al-Quran adalah hidangan Allah, siapa yang memasukkannya dia akan aman. Dan barangsiapa yang mencintai Al-Quran maka hendaklah dia bergembira.”

 

3. Disayangi Rasulullah

Jabir bin ‘Abdillah r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW pernah menyatukan jenazah dua orang sahabat yang telah gugur di dalam perang Uhud dalam satu liang lahad. Kemudian Nabi bertanya, “Daripada mereka berdua siapakah paling banyak hafal Al Quran?” Apabila ada orang yang dapat menunjukkan kepada salah satunya, maka Nabi memasukkan mayat itu terlebih dahulu ke liang lahad. 

 

4. Dapat memberikan syafaat kepada anggota keluarga

Ali bin Abi Thalib RA berkata, Rasulullah pernah bersabda: 

 

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَاسْتَظْهَرَهُ [أي: عَنْ ظَهْرِ قَلْبِيٍ] فَأَحَلَّ حَلاَلَهُ وَحَرَّمَ حَرَامَهُ أَدْخَلَهُ اللّهُ بِهِ الْجَنَّةَ وَشَفَّعَهُ فِي عَشْرَةٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِهِ كُلُّهُمْ قَدْ وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ

 

Maksudnya: “Barang siapa yang membaca dan menghafal al-Quran lalu menghalalkan yang halal di dalamnya dan mengharamkan yang haram di dalamnya nescaya Allah akan memasukkannya dengan sebab itu ke dalam jannah, dan menerima syafa’atnya untuk 10 orang daripada keluarganya yang kesemuanya mesti masuk ke dalam neraka”. 

(Riwayat al-Tirmizi)

 

5. Dianugerahkan hati & perasaan yang tenang dan lapang

Ayat-ayat suci Al-Quran merupakan kata-kata daripada Allah SWT. Dengan menghafal Al-Quran, mereka akan berasa lebih dekat dengan Maha Pencipta kerana ayat-ayat suci tersebut telah tersemat di dalam dada mereka dan mereka berusaha untuk mengekalkannya di dalam hati mereka. Hal ini demikian kerana mereka akan kerap mengulang hafalan mereka untuk mengekalkannya dan menjadikan mereka sentiasa mengingati Allah SWT yang menjurus kepada ketenangan jiwa seperti yang disebut di dalam surah Al-Ra’d, ayat ke-28 yang berbunyi: 

 

الَّذِيْنَ ءَامَنُوا وَتَطْمَىِٕنُّ قُلُوْبُهُمْ بِذِكْرِ اللّٰهِ ۗ اَلَا بِذِكْرِ
اللّٰهِ تَطْمَىِٕنُّ الْقُلُوْبُ

 

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “dzikru’llah”. Ketahuilah! Dengan “dzikru’llah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah Al-Ra’d: 28)

 

Tidak dinafikan, ganjaran bagi sesiapa yang menghafal ayat-ayat suci Al-Quran ini amat besar untuk umat Islam. Kelebihan yang dinyatakan hanya beberapa dan terdapat banyak lagi kebolehan yang boleh diperoleh kepada hafiz dan hafizah. Oleh itu, ibu bapa perlulah menanamkan hasrat untuk menjadikan anak mereka sebagai seorang hafiz untuk kebaikan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

 

Sumber:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1112-irsyad-al-hadith-siri-ke-111-hafiz-al-quran-dipakaikan-makhkota-dan-dapat-memberi-syafaat-kepada-10-orang-ahli-keluarga

https://matan.edu.my/kelebihan-menghafal-al-quran/

https://iluminasi.com/bm/kelebihan-seorang-hafiz-al-quran-di-dunia-dan-akhirat.html#goog_rewarded

https://edakwah.kelantan.gov.my/portal/books/siri-7-surah-ar-rad-13-ayat-28/

Share the Post:
× Apa yang kami boleh bantu?