Al-Quran diturunkan pada bulan Rejab kepada Nabi Muhammad SAW daripada Allah SWT menerusi malaikat Jibril sebagai perantaraan. Al-Quran dapat dijadikan sebagai panduan hidup untuk manusia dari pelbagai aspek dalam kehidupan. Seperti firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 2:
ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.”
(Surah Al-Baqarah: 2)
Kalam Allah ini menerangkan berkaitan kebesaran Allah SWT dan mengandungi perundangan kehidupan serta sebagai mukjizat sepanjang zaman yang pernah diturunkan. Kita seharusnya bersyukur dengan kurniaan Allah kepada hamba-Nya untuk dijadikan sebagai panduan hidup. Sebagaimana firman yang dinyatakan di dalam surah Al-Kahfi ayat 1-2:
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبۡدِهِ ٱلۡكِتَٰبَ وَلَمۡ يَجۡعَل لَّهُۥ عِوَجَاۜ
قَيِّمٗا لِّيُنذِرَ بَأۡسٗا شَدِيدٗا مِّن لَّدُنۡهُ وَيُبَشِّرَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعۡمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَٰتِ أَنَّ لَهُمۡ أَجۡرًا حَسَنٗا
Maksudnya: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci al-Quran dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong). (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.”
(Surah Al-Kahfi: 1-2)
Istimewanya Al-Quran adalah kerana nasnya telah dipelihara oleh Allah SWT. Ketelitian dalam menulis ayat-ayat Al-Quran dengan tepat telah bermula sejak zaman Nabi. Setiap kali wahyu diterima, Nabi akan memerintahkan para sahabat yang merupakan penulis wahyu, termasuk Zaid bin Thabit RA, untuk menulisnya.
Pengumpulan Al-Quran berlaku pada kali pertama adalah ketika zaman pemerintahan Abu Bakat As-Siddiq, iaitu selepas berlakunya peperangan Al-Yamamah menentang golongan murtad. Ketika peperangan, ramai penghafaz Al-Quran telah syahid dan menimbulkan kekhuatiran bahawa hilangnya kalam Allah ini untuk diwariskan kepada generasi akan datang. Umar Al-Khattab kemudiannya mencadangkan pengumpulan Al-Quran kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan dipersetujui. Umar Al-Khattab bersama-sama Zaid bin Thabit ditugaskan untuk mengumpul Al-Quran. Menurut Imam Al-Sayuti, Zaid bin Thabit RA tidak akan menerima ayat Al-Quran yang diberikan kepadanya kecuali jika ada dua saksi yang membuktikan bahawa ayat tersebut pernah ditulis di hadapan Rasulullah SAW, dan bukan hanya berdasarkan ingatan semata-mata.
Ketika zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, terdapat perselisihan bacaan Al-Quran dalam kalangan umat Islam. Mereka tidak mahu mengalah dan menegakkan bahawa bacaan Al-Quran mereka adalah yang benar. Oleh itu, satu lajnah telah dibentuk bagi menyalin Al-Quran dalam beberapa mushaf yang kemudiannya di hantar ke beberapa kota Islam. Lajnah tersebut dianggotai oleh Zaid bin Thabit, Abdullah bin Al-Zubair, Said bin Al-As dan Abdul Rahman bin Harith. Ianya bertujuan untuk memastikan umat Islam terus bersatu padu dan tidak berpecah belah.
Di Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan dan kawalan terhadap teks dan bahan Al-Quran melalui Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326). Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Teks Al-Quran (Lajnah Tasheh Al-Quran), yang terdiri daripada 35 ahli yang merupakan para penghafaz Al-Quran dan pakar dalam penulisan Al-Quran, berperanan memastikan ketepatan setiap ayat sebelum ia dibenarkan untuk dicetak.
Kesimpulannya, umat Islam perlulah yakin bahawa Allah SWT akan sentiasa memelihara Al-Quran. Bagi yang ragu tentang cetakan Al-Quran, mereka harus merujuk kepada pihak berkuasa agama dan Lajnah Tashih Al-Quran. Umat Islam juga wajib menjaga kesucian Al-Quran serta mempelajari, memahami, dan mengamalkan isinya agar dapat hidup bersatu dan menolak perpecahan.
Sumber:
https://e-khutbah.jais.gov.my/wp-content/uploads/2024/06/2023_f1_1_1700653298.pdf